Siapa sahaja tidak terkilan jika perniagaan yang baru bermula sudah kerugian lebih setengah juta ringgit, bagi mereka dengan modal sedikit mesti rasa sangat kecewa.
Masih baru dalam perniagaan muruku, penyanyi Noraniza Idris mendakwa perniagaan miliknya dianiaya sebuah akademi latihan keusahawanan.
Jelasnya dia mengalami kerugian sebanyak RM630,000 dan ini menyebabkan dia membuat keputusan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.
Menurut Kosmo! Online, Noraniza hanya menyedari mengenai penipuan berkenaan selepas tidak menerima bayaran untuk sekitar 20,000 pek produk makanan ringan yang telah dibekalkan.
“Saya terima pelawaan mereka kerana ingin membantu. Lagi pun memang selama ini saya sentiasa menyokong aktiviti amal kebajikan.
Bagaimanapun, niat baik telah dipermainkan apabila pihak terbabit melanggar perjanjian dengan hanya membayar sekitar RM3,000 sahaja. Cara bayaran pun dibuat berperingkat.
“Selepas menyedari ditipu sejak Jun tahun lalu, saya sering menuntut bayaran daripada pihak mereka namun sampai ke hari ini pelbagai alasan diberikan sehingga nilai kerugian yang saya tanggung mencecah RM630,000.
“Kerugian tersebut merangkumi mesin khas pembuatan muruku, percetakan, pembungkusan tertera logo syarikat tersebut serta kos pembayaran pekerja,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Terpaksa rehatkan pekerja
Akibat kecuaian orang lain, Noraniza mengakui pihaknya tetpaksa merehatkan lebih 10 pekerja untuk mengurangkan kos.
Noraniza berkongsi bahawa dia sebelum ini terpaksa menambah pekerja demi memenuhi permintaan syarikat tersebut dan kini hanya mempunyai empat pekerja sahaja.
Dalam pada itu, Noraniza tidak akan sesekali menutup perniagaan yang dibangunkan sejak setahun lalu.
“Saya tak boleh tutup perniagaan ini sebab ini bisnes keluarga.
“Jadi mahu atau tidak saya terpaksa teruskan kerana kami masih lagi mendapat permintaan atas talian,” ujarnya.
Pada masa sama laporan polis dibuat bukan sekadar mendapatkan hak mereka semula, sebaliknya untuk membantu orang lain agar tak terpedaya.
Baca juga: Pengusaha kantin berusia 60 tahun tergamak cabul budak Darjah 1, beri upah RM12
“Saya nekad buat laporan polis ini sekurang-kurangnya kami dapat hak kami semula serta membantu orang lain supaya jangan terpedaya dengan orang begini.
“Saya harap mereka tampil memberi kenyataan, agar syarikat lain pun boleh lebih berhati-hati,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE