Terkini: Fazura dan Fattah sah bercerai talak satu, punca penceraian didedahkan

Oleh MALAYSIADATELINE

Perkahwinan pasangan selebriti terkenal, Fattah dan Fazura akhirnya terlerai selepas disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, hari ini.

Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin dilaporkan telah melafazkan talak satu berkenaan di hadapan Hakim Syarie Abdul Malek Soleh sekitar jam 9.45 pagi tadi.

Selepas menjatuhkan talak itu, Fattah dikatakan kelihatan sugul sementara Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin menangis sebelum memeluk ahli keluarganya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan cerai yang difailkan oleh Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Abdul Malek lalu mensabitkan berlakunya perceraian dan memerintahkan pelakon wanita berusia 41 tahun itu agar menjalani tempoh edah selama tiga kali suci serta mendaftarkan perpisahan berkenaan.

Dalam pada itu, Fazura yang tidak dapat menahan sebak itu menitiskan air matanya ketika bertemu dengan pihak media dan mengakui bahawa keputusan untuk berpisah bukanlah dibuat dalam masa singkat.

Fazura turut mendedahkan antara alasan penceraian itu difailkan adalah kegagalan Fattah dalam menunaikan nafkah selain bersikap curang dalam perkahwinan, lapor Mstar.

“Saya tak sedih dengan penceraian ini. Keputusan dibuat bukanlah di dalam masa sekejap. Saya sudah sengsara bertahun-tahun. Saya sudah berfikir panjang dan reda.

“Fattah abaikan nafkah untuk saya dan Fatima (anak). Kami tidak sefahaman lagi. Saya sudah lama tidak bahagia. Memang Fattah berlaku curang. Saya ada bukti,” katanya memetik Mstar.

Terdahulu, isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah mula hangat diperkatakan apabila pasangan itu sudah lama tidak meninggalkan komen atau tanda suka dalam akaun media sosial masing-masing.

Fazura bagaimanapun menafikan spekulasi mengenai pergolakan rumah tangganya sambil menjelaskan bahawa khabar tersebut hanyalah andaian malah hubungannya dengan Fattah baik-baik sahaja.

Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 sebelum mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Namun, apa yang mencuri perhatian apabila Fazura tiba-tiba memfailkan perceraian terhadap Fattah sehari sebelum ulang tahun kelahiran suaminya yang bertarikh 14 September.

Butiran lanjut mengenai permohonan cerai juga tidak diperincikan malah Fattah juga mengakui terkejut apabila menerima berita mengenai pemfailan cerai itu melalui media sosial.

Baca juga: Wanita mengadu suami curang dengan pekerja sendiri, respon Fazura undang persoalan