Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didapati bersalah dan disabitkan terhadap dua pertuduhan di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini.
Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun, 31, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dua pertuduhan tersebut lapor Kosmo.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari hingga Jun 2021.
Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama Siti Bainun dipenjara selama 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara selama 12 tahun dan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan hari ini.
Terdahulu, ketika membacakan keputusan itu Hakim Izralizam mengemukakan lapan alasan tertuduh bersalah dan antaranya keterangan mangsa tercedera akibat air panas adalah keterangan “hear say” (dengar cakap).
“Dalam insiden terkena air panas, tertuduh mengakui tidak pernah nampak kejadian itu dan hanya ‘hear say’ (dengar cakap) seperti yang dikatakan saksi pendakwaan kelima sedangkan pakar perubatan merumuskan Bella mempunyai banyak kecederaan lain pada tubuhnya selain terkena air panas.
“Mahkamah berpuas hati dengan hujah pendakwaan yang menyatakan mangsa dianiaya dan diabai di bawah penjagaan tertuduh,” kata Hakim Izralizam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias manakala Siti Bainun diwakili peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun.
Baca juga: JAIPs sanggah Wadi Annuar – “Dia hilangkan diri tanpa sebarang makluman”