“Terpaksa aku senyum di pagi raya, tak rela beritahu ibu suami curang saat berpantang,”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita langsung tidak menyangka sang suami yang pemalu, pendiam dan lemah-lembut rupanya tergamak mengkhianati ikatan perkahwinan mereka.

Wanita yang dikenali sebagai Melur itu mulanya terharu dengan pengorbanan suami kerana lelaki itu sanggup mengambil cuti untuk menjaganya sepanjang berpantang.

Namun segala-galanya berubah apabila suaminya mula menjadi dingin dan tidak mahu bertentang mata dengannya ketika anak mereka baru mencecah usia 21 hari.

Hilang semangat mahu menyelamatkan rumah tangganya, berikut perkongsian Melur yang terpaksa menyimpan penderitaan sendiri ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. 

“Assalamualaikum. Selama ini saya baca perkongsian orang lain sahaja, tak sangka tiba masa terkena kepada diri sendiri. Saya seorang doktor, pegawai perubatan yang berusia 29 tahun. Berkongsi kerjaya dengan suami yang berumur 31 tahun. Bertugas juga di hospital yang sama. Tetapi personaliti kami sangat berbeza.

“Aku dan suami bagai langit dan bumi. Dia agak pemalu. Saya pula boleh dikatakan sangat peramah. Jika dia suka hitam, saya suka putih. Memang selalu berlawanan dengan suami. Saya jenis yang tegas dan kasar, lebih-lebih lagi kalau waktu bekerja. Suami pula jenis pendiam, cakap lembut dan tak pernah marah-marah.

“Tetapi kami berkahwin memang atas dasar suka sama suka. Berkenalan ketika kami bergelar pelajar. Alhamdulillah, Allah mudahkan semua urusan perkahwinan. Banyak ujian kami dalam perkahwinan. Lebih banyak berselisihan faham berbanding waktu-waktu gembira. Mungkin sebab kami jarang luangkan masa bersama. 

“Ketika itu, kami berdua terlalu sibuk dengan kerja di hospital. Tetapi sejak berpindah ke hospital baru, hubungan kami semakin elok. Gembira sebab di hospital ini kurang sibuk. Saya juga tengah mengandung, jadi suami banyak lebihkan masa bersama. Saya bersalin di awal ramadhan, suami ada bersama dalam bilik bersalin. 

“Suami nampak saya menahan sakit selama tujuh jam sebelum bayi kami keluar. Di dalam tempoh seminggu, suami cuti. Saya rasa bersyukur sangatlah. Alhamdulillah, Allah berikan orang yang baik untuk jaga saya. Suami juga mengupah ‘confinement lady’ (penjaga pantang) untuk menguruskan saya.

“Tetapi apalah nasib, ku sangkakan panas berpanjangan. Namun manusia memang akan diuji dengan apa yang kita paling sayang. Selepas seminggu berpantang, suami mula berubah. Sepanjang waktu dengan telefon sahaja. Tak pegang langsung isteri dia ini. Pandang pun macam mengelak untuk bertentang mata.

“Waktu itu saya sudah rasa ada benda yang tak kena. Saya terus tanya suami, dia ada masalah atau tersuka dan hubungi orang lain ke?. Suami menidakkan semuanya. Sampai suatu hari, waktu anak saya genap berusia 21 hari. Tergerak buka Whatsapp dalam telefon suami, memang Allah nak tunjuk.

“Sebelum ini, saya memang tak pernah periksa telefon suami. Dalam telefon itu, saya nampak mesej mesra dengan doktor pelatih. Perempuan cina. Mereka mula berbalas mesej bermain cinta seminggu selepas saya bersalin. Mereka berdua juga ada keluar bersama sekali. Masa itu saya rasa bergegar, gelap dunia.

“Saya terus bersemuka dengan suami, minta penjelasan. Mula-mula dia cuba untuk menafikan, tetapi akhirnya mangaku juga. Katanya, semua itu berlaku sebabnya dia sudah tidak dapat menahan sabar. Suami cakap saya kerap marah-marah, bercakap kasar dengan dia sejak selepas bersalin. 

“Suami cakap saya buat dia tertekan. Jadi doktor pelatih itu mengalih perhatiannya dari tekanan itu. Saya sangat terbungkam. Daripada pilih untuk berbincang dengan saya, dia terus cari perempuan lain. Rasa hancur, macam ditikam masa itu. Selepas menangis, barulah suami seperti tersedar.

“Suami menangis, minta maaf. Dia kata ia hanya satu kesilapan kerana tidak berfikir panjang. Untuk makluman, ibu saya tinggal sekali dengan kami. Tetapi selepas habis berpantang, ibu akan berpindah ke rumah abang saya. Saya tak boleh beritahu ibu apa yang sudah terjadi, sebab dia ada kemurungan.

“Takut sangat kalau ibu yang terganggu kalau tahu masalah kami. Jadi saya simpan seorang diri. Memang rasa macam hilang diri sendiri. Saya tak boleh makan, minum. Kalau masuk akan muntah semula. Saya tak boleh nak urus diri. Selepas hari kelima, barulah boleh sedikit. Saya sentiasa menangis apabila duduk seorang. 

“Saya juga mengalami serangan panik sejak masalah ini berlaku. Sampaikan minta suami lepaskan saya dengan cara baik. Sebab saya rasa tak mampu terima suami semula. Tetapi suami minta berikan dia peluang. Katanya hanya tersilap, suami siap lafaz taklik akan jatuh talak kalau dia ada hubungan lain.

“Habis itu Hari Raya macam mana? Depan orang, tak akan saya nak meraung pula. Ambil gambar raya semua seperti biasa. Tetapi betapa hancurnya hati saya ini setiap kali tengok muka anak. Pedih hati setiap kali tengok muka suami. Cumanya, saya tak dapat bencikan dia. Saya cuma rasa sedih sangat.

“Sejujurnya sekarang ini saya tak tahu nak buat apa. Patutkah saya berikan peluang, atau lepaskan sahaja. Adakah saya perlu dapatkan bantuan sebab rasa macam ada kemurungan. Tetapi saya malu. Sebab kalau pergi, mesti semua rakan sekerja akan tahu. Kami semua dalam bidang yang sama.

“Saya sekarang hanya berdoa supaya diri ini mati sahaja. Bolehlah suami bergembira kerana saya tidak lagi untuk buat dia tertekan.” Kongsi Melur menerusi satu hantaran tular di dalam forum atas talian.

Baca juga: Ada masalah percakapan, rakan dedah pelakon tahun 90-an tak dapat tawaran kerja lepas sakit