Walaupun sudah dipesan beberapa kali untuk tidak cepat percaya akan skim yang konon dapat memberi pulangan wang berganda, masih ada menjadi mangsa.
Terbaru seorang wanita tidak menyangka akan menjadi mangsa penipuan pelaburan kripto tidak wujud selepas kerugian RM1.6 juta.
Menurut Harian Metro Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin mengesahkan hal tersebut.
Menurut maklumat awal, wanita berusia 49 tahun itu melihat satu iklan kejayaan kewangan di laman web berbahasa Cina pada Disember 2023.
Tertarik dengan kejayaan yang dimuat naik di laman web berkenaan, mangsa mengisi satu borang di pautan di laman web terbabit
Mangsa kemudian dihubungi oleh seorang individu dengan memperkenalkan diri sebagai Jasmine Yong melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, mangsa yang tidak bekerja itu kemudiannya dijemput masuk ke satu kumpulan WhatsApp untuk urusan seterusnya.
“Selepas tiga bulan, mangsa dijemput masuk ke satu lagi kumpulan WhatsApp atas nama Cripto Currency dan dipandu arah oleh beberapa individu untuk memulakan pelaburan.
“Mangsa diarahkan untuk membuat pelaburan dan membuat pindahan wang ke dalam akaun bank yang diberikan bermula pada 14 Mac hingga 28 Jun lalu,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Tidak hanya itu, mangsa dijanjikan pulangan pelaburan anggaran sebanyak RM90,000,000 namun hingga kini tidak menerima keuntungan.
Mangsa dikatakan menggunakan wang hasil penjualan aset keluarganya untuk pelaburan berkenaan.
“Mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu apabila segala perbualan mesej dan panggilannya sudah disekat.
“Pada 2 Julai lalu mangsa datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk membuat laporan dengan jumlah kerugian sebanyak RM1.6 juta,” katanya.
Baca juga: Terasa hati adik enggan amal adat ‘langkah bendul’, wanita ini disekolahkan netizen