Mengakui terpengaruh dengan gaya hidup rakan-rakan yang menetap di rumah besar dua tingkat, seorang wanita berkongsi pengalaman peribadinya yang akhirnya membuka mata ramai tentang erti sebenar keselesaan dan ketenangan hidup.
Menerusi perkongsian di media sosial, wanita itu menceritakan bagaimana dia sangat teruja apabila dia akhirnya memiliki sebuah rumah teres dua tingkat.
Namun, selepas hampir enam bulan mendiami rumah tersebut, dia mula sedar hakikat sebenar.
“Dulu aim gila-gila rumah teres dua tingkat. Terpengaruh tengok kawan-kawan. Seronok tengok dia orang duduk rumah besar-besar.
“Rasa gah. Suami saya tunaikan, rumah tu memang besar. Sampai duk pikir macam mana nak penuhkan rumah. Puluh ribu habis nak isi barang-barang dalam rumah. Selepas hampir enam bulan, saya tak dapat teruskannya lagi,” luahnya.
Dia turut mengakui berasa sangat sunyi ketika memasak seorang diri di dapur yang terletak jauh dari ruang keluarga, selain hilang motivasi untuk melakukan kerja rumah seperti menyidai baju dan mengemas ruang yang terlalu luas.
“Rasa tak syok, rasa terbeban. Tengah sedap-sedap duk dalam bilik, anak-anak mintak nugget. Rasa malas gila nak turun dan masak. Bila memasak, rasa sunyi gila. Malas nk sidai baju. Rasa macam bebanan gila,”
Namun, dia bersyukur kerana memiliki suami yang sangat memahami dan segera mencari rumah kondominium yang lebih kecil dan praktikal.
Kini, mereka sekeluarga tinggal di rumah berkeluasan sekitar 800 kaki persegi dan jauh lebih bahagia.
“Dari 1800sqf ke 800sqf, saya rasa lebih tenang dan sangat seronok. Masa memasak boleh borak dengan anak dan suami yang tengah tengok tv, sidai kain pun boleh borak dengan suami yang dalam tandas. Anak-anak sentiasa depan mata,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pengalaman itu mengajarnya bahawa apa yang nampak indah di mata orang lain, belum tentu sesuai dengan dirinya.
“Yang di pinggan orang, tak semestinya apa yang kita perlu,” kongsinya lagi.
Baca juga: Bapa kahwin baru tiba-tiba muncul, nak pakai nama anak ‘refinance’ rumah isteri kedua