Teruk difitnah, Alicia Amin hilang minat nak jual Rendang Tok

Oleh MALAYSIADATELINE

Bukan senang nak mulakan perniagaan, pastinya ambil masa untuk sempurnakan resipi sebelum dijual kepada orang ramai.

Pernah menjual Rendang Tok, resipi daripada arwah neneknya, pelakon Alicia Amin bagaimanapun sudah tidak berminta untuk kembali berniaga.

Jelasnya yang pernah menjual produk tersebut semasa negara dilanda pandemik, Alicia mengakui tertekan dengan komen dan fitnah dilempar sesetengah individu lapor Kosmo! Online.

“Saya dah malas kena fitnah dengan orang pasal makanan. Sudahlah nak masak Rendang Tok ambil masa agak lama. Saya stres.

“Saya jual Rendang Tok ketika pandemik COVID-19. Saya cari duit sebab ketika itu ramai yang hilang pendapatan.

“Saya tak mampu untuk hadap fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada saya. Biarlah saya masak untuk keluarga sahaja,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Berkongsi dengan lebih lanjut, Alica memaklumkan dia satu-satunya dalam keluarga yang mewarisi resepi Rendang Tok itu.

“Semuanya bermula sewaktu saya belajar di Australia dulu. Saya teringin nak makan dan saya masak sendiri.

“Biarpun tidak seratus peratus sama dengan air tangan arwah nenek, tetapi kata ayah, rasa Rendang Tok saya yang hampir serupa,” ujarnya.

Mengimbau kembali, Alicia yang menjual Rendang Tok pada tahun 2020 dituduh tidak mengambil suntikan Typhoid, malah ramai mengkritik pemakaiannya semasa memasak.

Bagaimanapun Alicia menafikan dakwaan tersebut dan berkongsi bahawa dia sudah mengambil suntikan tersebut kerana pernah bekerja dalam sektor pengurusan makanan sebelum ini.

Baca juga: Siti Nurhaliza berdoa agar tak perlu nyanyi lagi 1 hari nanti, berhasrat nak duduk Makkah