Teruk dikecam, rupanya ‘wanita T20’ guna gambar fake, pemilik diserang netizen Malaysia

Oleh MAISARAH AISYA

Masih ramai berselindung di sebalik akaun palsu agar identiti sendiri terjaga hingga menyebabkan orang lain pula menjadi mangsa.

Tular dua tiga hari ini mengenai akaun TikTok Farah Dahlia yang memandang rendah mereka yang menggunakan bantuan barangan sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Ramai mengecam pemilik akaun TikTok dan juga menghina wajahnya, namun ada seorang wanita Indonesia tampil menjelaskan bahawa wajahnya telah digunakan tanpa kebenaran.

Pencipta kandungan Indonesia menerusi Instagram Fajrin.rz tampil menjelaskan situasi tersebut selepas teruk dikecam netizen Malaysia.

“Saya nak maklumkan ada akaun palsu di TikTok dari Malaysia, @farahdahlia_2002 dan @farahdahlia_20002 yang mengambil semua gambar dan video dan memuat naik ke akaunnya dengan ayat tidak baik.

“Dia juga mengehadkan komen di hantaran tersebut hingga menyebabkan kemarahan ramai dan melaporkan ia kepada akaun peribadi saya.

“Saya harap semua boleh bantu ‘report’ akaun tersebut dan hentikan komen atau mesej di akaun peribadi saya,” ujarnya di Instagram story.

Sehingga kini pemilik akaun Farah Dahlia masih tidak menurunkan gambar mahupun video diambil tanpa kebenaran.

Baca juga: Luahan angkuh pelajar universiti dapat siapkan tugasan guna AI dikritik ramai