Satu kekecohan timbul di Thailand apabila 64.7 tan durian dari negara itu dilapor telah dikambus begitu sahaja selepas ianya ditolak oleh China.
Apa yang dah jadi sebenarnya?
Menurut laporan AFP, Thailand telah mengeksport duriannya ke China. Bagaimanapun negara tembok besar itu telah menolak raja buah berkenaan kerana mendapati ia dicemari bahan pewarna kuning.
Menurut akhbar The Nation, Jabatan Pertanian Thailand mengesahkan bahawa buah-buahan itu mengandungi bahan pencelup kuning asas dua selepas ujian dilakukan.
Bahan pencelup itu digunakan untuk menyerlahkan warna durian.
Beberapa pengeksport dipercayai mencelupkan buah durian ke dalam pewarna tiruan supaya kelihatan masak dan isinya berwarna kuning.
Thailand telah menggantung lesen eksport 26 pemborong durian yang dikaitkan dengan penghantaran buah tercemar.
Penemuan pewarna itu mendorong China melaksanakan ujian makmal mandatori ke atas semua import durian, termasuk dari Vietnam.
Hanya makmal yang diluluskan oleh pemerintah China diberi kuasa untuk melakukan ujian itu.
Vietnam sedang giat berunding dengan China untuk mengembangkan senarai makmal yang diluluskan untuk memudahkan pelepasan kastam yang lebih lancar.
Nilai import durian China ialah AS$6.99 bilion (RM31 bilion) pada tahun lepas, dengan 57 peratus datang dari Thailand diikuti Vietnam sebanyak 41.5 peritus.
Baca juga: Wanita sempat rakam durian ‘paling tinggi’ atas kepala, sekali buah jatuh tak sempat nak elak