Tiada ciri keselamatan? Ini yang perlu anda tahu sebelum tempah Perodua Axia ‘rahmah’

Oleh KIM SYAZIE

Hanya bermodalkan RM22,000, rakyat Malaysia sudah mampu memiliki kereta keluaran Perodua baharu iaitu model Axia E 2023.

Bertransmisi manual, Axia E keluaran tahun ini merupakan kereta paling termurah di pasaran yang pernah diperkenalkan Perodua.

Menyita perhatian semenjak mula diperkenalkan, ramai yang menyimpan hasrat untuk memiliki kenderaan mampu milik itu.

Namun begitu, perlu dingatkan bahawa perbezaan harga yang ditawarkan memberikan makna yang besar terutama dari segi keselamatan.

Sebagai model yang termurah, Axia E 2023 ini mempunyai banyak kekurangan ciri-ciri keselamatan yang perlu ada pada sebuah kenderaan.

Boleh mengurangkan risiko kemalangan, kereta ini tidak dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) atau Kawalan Cengkaman (TC).

Malah, spesifikasi penting seperti Sistem Antikekunci Brek (ABS) dan Pengagihan Brek Elektronik (EBD) juga tiada pada kenderaan itu.

Dilancarkan pada Khamis lalu, kereta ini hanya didatangkan dengan dua beg udara dan ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak sahaja.

Walaupun mempunyai penghawa dingin dan tingkap elektrik, kereta ini dipasarkan tanpa sistem kunci berpusat serta penggera. 

Sistem berpusat ini bertujuan untuk membenarkan pemandu mengunci empat pintu kenderaaan secara automatik.

Menyedihkan, pemilik Perodua ‘rahmah’ ini bakal mendapatkan kenderaan tanpa meter rpm di papan pemuka pemandu dan tiada lapik kaki diberikan.

Baca juga: Nak simpan duit anak tapi tak tahu dimana? Ini 5 jenis simpanan ibu bapa perlu tahu