DAP mencadangkan agar Ahli-ahli Parlimen pembangkang menggesa agar undian belah bahagi dilakukan Isnin depan bagi membantah keputusan Kabinet menghadiahkan hartanah bernilai RM100 juta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, walaupun Najib telah menarik balik permohonannya yang dianggap atas tujuan politik supaya tidak menjejaskan sentimen pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun tidak ada jaminan beliau tidak akan memohon semula nanti.
Menurutnya, sama ada Najib akan membuat permohonan semula atau tidak, tetapi keputusan asal Kabinet untuk memberikan kelulusan adalah salah dan mesti ditukar.
“Keputusan kabinet untuk memberikan hartanah RM100 juta kepada Najib jelas salah dan telah menyebabkan kemarahan orang ramai terhadap kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Keputusan ini benar-benar mempersendakan konsep Keluarga Malaysia beliau kerana hanya menguntungkan keluarga politik terdekat dan bukan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu di Parlimen bahawa Kabinet telah meluluskan RM100 juta sebagai mengiktiraf perkhidmatan Najib Razak.
Lim berkata, Najib telah disabitkan kesalahan atas salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram yang menyebabkan Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pada masa sama, Lim menegaskan, undian belah bahagi juga perlu dilakukan untuk membantah kerajaan yang enggan meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
Sebaliknya, kerajaan hanya akan membenarkan HSR berhenti di Johor Bahru dan menetapkannya semula sebagai HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru.
“HSR KL-Singapura telah dibatalkan bukan oleh PH tetapi oleh Kerajaan PN dan BN. Keperluan untuk HSR KL-Singapura adalah salah satu isu yang dibangkitkan dalam pilihan raya negeri Melaka di mana rakyat mahu HSR KL-Singapura dikembalikan,” katanya lagi.