Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bertindak menamatkan kontrak pempengaruh dikenali sebagai CEO Batu selaku duta rasmi kepada kelab bola sepak berkenaan berkuat kuasa secara serta-merta.
Tindakan diambil susulan individu berkenaan disiasat oleh pihak polis berkaitan dengan dakwaan gangguan seksual ke atas kanak-kanak bawah umur seperti mana yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pengumuman berhubung penamatan kontrak CEO Batu ini dibuat KDA FC menerusi satu kenyataan ringkas yang dimuat naik pada malam Ahad di akaun Instagram rasmi milik kelab tersebut menerusi Instastory.
Dalam kenyataan tersebut, KDA FC menegaskan bahawa pihaknya berpendirian tegas untuk tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang melanggar undang-undang.
“Pihak KDA FC telah mengambil maklum isu berkenaan salah seorang duta rasmi KDA FC. Pihak KDA FC tidak akan berkrompomi dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk salah laku dari segi undang-undang.
“Oleh yang demikian, pihak KDA FC dengan ini telah menamatkan kontrak CEO Batu serta-merta,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan KDA FC dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, CEO Batu dilaporkan ditahan oleh pihak polis untuk membantu siasatan mengenai dakwaan gangguan seksual dengan menghantar beberapa mesej berunsur lucah kepada remaja bawah umur berusia 14 tahun.
Pempengaruh yang popular di platform TikTok itu hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada Khamis lalu sebelum ditahan susulan laporan dibuat ibu mangsa berhubung kejadian tersebut.
Perbuatan yang didakwa dilakukan CEO Batu sejak awal Mei lalu itu terbongkar selepas penyanyi rap iaitu Caprice mendedahkan beberapa tangkap layar perbualan berbaur lucah antara mangsa dan pempengaruh berkenaan.
Berdasarkan perkongsian di platform Instagram, Caprice berkongsi perbualan yang mana individu dipercayai CEO Batu menghantar gambar badannya dari pusat ke bawah konon untuk menunjukkan parut pembedahan appendicitis (apendiks).
Dalam perkembangan terbaharu, perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 22 tahun yang bermula pada Jumaat sehingga hari ini disambung sehingga esok selepas permohonan dibuat polis untuk siasatan lanjut.
Baca juga: Lama tak buat ‘content’ dengan isteri, pempengaruh akhirnya dedah diri sudah bercerai