Terpulang mahu pakai pelitup muka atau tidak, kerajaan tidak akan keluarkan saman

Oleh KIM SYAZIE

Kerajaan tidak lagi mengeluarkan saman terhadap individu yang tidak mengenakan pelitup muka di tempat awam. Ia susulan pengumuman Putrajaya bahawa pemakaian pelitup muka di tempat terbuka mahupun tertutup tidak diwajibkan berkuatkuasa serta merta pada 7 September lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu yang telah berkuat kuasa minggu lepas.

Bagaimanapun sekadar info, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau sebaliknya.

“Kerajaan tidak kenakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan tidak akan saman sesiapa lagi.

“Rakyat sudah biasa dan faham tentang kesihatan awam ini dan hampir kepada kehidupan seperti biasa malah sosial dan ekonomi juga telah dibuka dan perkumpulan sudah dibenarkan.

“Jadi kita perlu menjaga diri sendiri dan mengamalkan norma baharu termasuk memakai pelitup muka sekiranya mempunyai simptom Covid-19 dan mengasingkan diri sendiri selain membuat laporan dalam aplikasi MySejahtera,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bagaimanapun kata Noor Azmi, orang ramai masih digalakkan memakai pelitup muka di tempat sesak dan pemakaian diwajibkan ketika menaiki pengangkutan awam atau berada di fasiliti kesihatan.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa Malaysia sedang menunggu pengisytiharan untuk negara ini memasuki fasa endemik Covid-19 kerana sudah merekodkan jumlah jangkitan kes yang rendah dalam kalangan komuniti ketika ini.

Baca juga: Najib tidak akan dihantar ke IJN kerana banduan hanya akan dirawat di hospital kerajaan

Baca juga: ‘Kenapa tak boleh bawa mak?’-Generasi sekarang ada yang tak tahu ibu bapa tak boleh ikut masa temu duga