Tiada pengeluaran KWSP: Kerajaan perlu beri RM5,000 hingga RM10,000 kepada mangsa banjir

Oleh KIM SYAZIE

Kerajaan digesa untuk menyalurkan bantuan segera yang berjumlah antara RM5,000 ke RM10,000 setiap orang mengikut keadaan serta kesan kerugian yang dialami mereka akibat bencana banjir sejak Disember 2021.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini bersesuaian yang ketetapan kerajaan yang tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada mereka yang terkesan.

“Kerajaan mesti segera menyalurkan bantuan kewangan kepada semua mangsa banjir yang terkesan.

“Semua mangsa banjir saat ini dalam keadaan yang cukup derita dan terdesak tatkala mereka kini dibebankan dengan kerugian yang amat dahsyat.

“Usah tambah beban rakyat dengan kerenah birokrasi yang melampau yang hanya melambatkan proses menyalurkan bantuan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pada baru ini, kerajaan Ismail Sabri perlu ada rancangan dan jalan baru dalam mengemudi negara, terutamanya di saat krisis dan dalam aspek menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Terdahulu, kerajaan menyatakan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000, meskipun ramai mangsa terjejas dengan banjir ketika ini.

Ini berikutan, kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra, dengan ada antaranya berisiko menjadi miskin tegar selepas pencen.