Tiada rakyat Malaysia jadi mangsa letupan bom di Jakarta

Oleh BORHAN AHMAD

Tiada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dalam kejadian letupan bom di Jakarta hari ini, kata Wisma Putra.

“Kedutaan Malaysia di Jakarta sedang memantau dengan teliti keadaan,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu, Wisma Putra menasihatkan warga Malaysia yang menetap dan melakukan perjalanan ke Jakarta supaya lebih berhati-hati dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa republik itu.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan beberapa orang lagi cedera dalam beberapa letupan yang berlaku di sekitar sebuah pusat membeli-belah di Jakarta.

“Kerajaan Malaysia ingin melahirkan simpati dan takziah yang mendalam kepada Kerajaan dan rakyat Republik Indonesia atas insiden tragik ini,” kata Wisma Putra.

Kedutaan Malaysia di Jakarta boleh dihubungi menerusi nombor telefon 0062 21 5224 947.