Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) menafikan dakwaan bahawa kawasan Kampung Sungai Baru adalah sebahagian daripada tanah yang diwartakan di bawah pengurusan pihaknya.
Menurut Setiausaha Kehormatnya iaitu Shamsuri Suradi, tiada rekod rasmi daripada pihaknya yang membuktikan kawasan Kampung Sungai Baru itu sebahagian daripada tanah yang diwartakan di bawah pengurusan MAS.
Shamsuri juga sempat berkongsi lebih lanjut mengenai susur galur kewujudan kawasan Kampung Sungai Baru hasil daripada inisiatif Menteri Besar Selangor ketika itu iaitu Datuk Harun Idris bersama pihak lain.
“Sekarang isu kawasan Kampung Sungai Baru didakwa berada di kawasan pentadbiran MAS. Tetapi dalam rekod kami, tiada nombor lot tanah kawasan tersebut. Kawasan Sungai Baru itu diluruskan pada sekitar tahun 1960-an.
“Kawasan ini dibangunkan selepas kawasan Sungai Klang diluruskan. Pihak yang terlibat dalam inisiatif ini adalah Menteri Besar Selangor ketika itu iaitu Datuk Harun Idris bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Jadi kawasan tersebut dijadikan sebuah perkampungan baharu, generasi kedua. Status tanah sebagai lot pajakan selama 99 tahun kemudian dikeluarkan oleh kerajaan negeri Selangor,” katanya.
Perkara itu dijelaskan oleh Shamsuri dalam satu sesi temu bual yang sempat dirakam sebelum video berdurasi dua minit 40 saat itu dimuat naik menerusi satu hantaran di platform Facebook melalui akaun Demi Rakyat.
Dalam perkongsian sama, Shamsuri juga meminta pihak yang mendakwa Kampung Sungai Baru berada di bawah pentadbiran MAS tampil mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan mereka.
“Sekiranya benar kawasan ini berada bawah pentadbiran MAS, sudah tentu kami ada rekodnya. Setiap tanah dalam MAS, sudah tercatat rekod berhubung setiap pemiliknya. Walaupun pemiliknya bertukar, tetap ada dalam rekod.
“Lot tanah MAS direkodkan mengikut Sistem Koordinat Geografi (GCS). Jadi mana-mana pihak yang mendakwa Kampung Sungai Baru adalah kawasan MAS, mereka perlu membuktikannya berdasarkan GCS.” Jelasnya.
Terdahulu, peguam Lawyers for Liberty (LFL) selaku Penasihat Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru iaitu N Surendran berkata dakwaan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa kawasan Kampung Sungai Baru bukan tanah rizab Melayu adalah salah dari segi fakta dan perundangan.
N Surendran mendakwa keseluruhan 220 hektar tanah di Kampung Baru, termasuk Kampung Sungai Baru sebagai sebahagiannya telah diisytiharkan sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS) melalui Warta No 1550 bertarikh 16 Februari 1932.
Baca juga: Teruk dikecam, rupanya ‘wanita T20’ guna gambar fake, pemilik diserang netizen Malaysia