Apabila aku terbaca berita bahawa AP import makanan dimansuhkan aku berasa sedikit terkejut.
Jujurnya aku tidak pasti apa tujuan dilaksanakan sama ada untuk menghapuskan kartel sedia ada, membina kartel pengimport yang baru atau menstabilkan harga hasil pertanian di pasaran.
Aku juga sangat pesimistik terhadap idea ini kerana ia memperlihatkan kita terpaksa bergantung harap kepada hasil import dalam mengisi perut rakyat Malaysia.
Malah aku terpaksa mengandaikan bahawa Kementerian Pertanian dan Industi Makanan telah gagal dalam menjamin ‘food security’ kita sehingga perdana menteri terpaksa memansuhkan AP import makanan dalam menjamin ‘food security’ dan menstabilkan harga hasil pertanian di pasaran.
Sementelah itu juga aku berpendapat tindakan membenarkan sesiapa sahaja mengimport hasil makanan tidak dapat membuahkan hasil yang diharapkan di mana kadar tukaran Ringgit Malaysia pada waktu ini sangat lemah berbanding mata wang dunia yang lain.
Sebagai contoh apabila AP import ayam dibuka tempoh hari, harga ayam hanya turun 20 sen per kg.
Hakikatnya aku sebenarnya sangat berharap dalam krisis ‘food security’ yang bakal melanda Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya, maka agensi pertanian di peringkat akar umbi perlu diperkasakan.
Antara perkara yang kerajaan boleh buat adalah dengan memperkasakan seluruh 279 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang ada di seluruh Malaysia.
Seluruh PPK perlu diperkasakan bukan sahaja berfungsi dalam menjual barangan input pertanian tetapi perlu terlibat secara langsung dalam industri tanaman kontan, sayur-sayuran, buah-buahan dan ternakan ruminan.
Kalaulah setiap PPK ini dapat mengusahakannya secara berkesan, ‘food security’ negara akan terjamin dan kadar kebergantungan kita kepada hasil makanan import dapat dikurangkan.
Apa yang aku lihat banyak PPK tidak ditadbir dengan berkesan malah yang lebih menyedihkan ada PPK yang hanya bertindak seperti cawangan parti politik di peringkat akar umbi.
Lagaknya hanya memohon peruntukan atau tanah dari kerajaan tapi tiada hasil yang dapat dibanggakan.
Disamping itu juga, kerajaan perlu mengalih fokus daripada terlalu kemaruk melaksanakan projek mega dan segera memberi penekanan khusus kepada industri pertanian dan ruminan.
Ya betul, kita perlu kepada projek mega sebagai satu instrumen memajukan negara seraya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat teramai.
Tetapi kita juga perlu memperkasakan industri pertanian dan ruminan negara dalam memastikan perut rakyat Malaysia tidak terjejas sehingga kita terpaksa bergantung kepada hasil makanan import.
Akhirnya aku sangat berharap agar kerajaan dapat meningkatkan subsidi dalam menstabilkan harga minyak masak.
Dalam keadaan kerajaan mengaut untung dengan harga komoditi sawit yang melonjak naik, mengapa tidak keuntungan tersebut dikembalikan kepada rakyat agar rakyat dapat membeli minyak masak dalam harga yang munasabah.
Tidak guna harga komoditi sawit yang melonjak tinggi tetapi rakyat terpaksa membayar tinggi untuk membeli minyak sawit botol di pasaran tempatan.
Harapan aku agar ahli politik dapat berhenti daripada sibuk berdebat tentang kestabilan politik sedangkan poket rakyat sedang sakit dan parah dengan kos sara hidup yang melonjak tinggi.