Tidak ada sebab ganti Anwar kerana usia – Nurul Izzah

Oleh MALAYSIADATELINE

Tidak ada sebab untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh pembangkang hanya kerana beliau sudah berumur, kata  Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Dakwanya, ada yang mengatakan bahawa  bekas Ketua Pembangkang itu  sudah berumur dan tiba masanya untuk diganti pemimpin baharu mengetuai Pakatan Harapan.

“Tetapi di Amerika Syarikat,  Bernie Sanders yang berusia 74 tahun sedang berjuang memerangi jurang perbezaan antara golongan miskin dan kaya,” ujarnya.

Nurul menegaskan demikian dalam satu majlis di luar Penjara Sungai Buloh bagi menyambut ulang tahun pertama pemenjaraan Anwar.

Anwar telah menjadi wajah dan tokoh pembangkang sejak tahun 1998 apabila gerakan Reformasi bermula.

Pengkritik berkata, PKR perlu keluar dari bayang-bayang itu jika ia mahu menjadi parti yang berjaya.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata, walaupun bapanya masih boleh memimpin pembangkang untuk menempa kemenangan, tetapi rakyat juga perlu melakukan bahagian mereka.

Sehubungan itu, beliau menggesa penyokong supaya mula bertindak seperti pemenang dan terus bekerja keras.

Katanya, tunjukkan bahawa negara ini adalah milik mereka dan bukan hanya milik perdana menteri.

Kira-kira 1,000 orang menghadiri  himpunan itu malam tadi dan mendengar ucapan lebih daripada 20 ahli politik  dari PKR, Amanah  dan DAP.

Ia bermula pada pukul 8 malam dan berlangsung hingga tengah malam, dan berakhir dengan bacaan doa supaya Anwar cepat dibebaskan.