Setelah banjir reda dan air surut, korban banjir ternyata terus meningkat dari sejumlah 4 kematian pada hari keempat dan meningkat dengan jumlah kematian seramai 7 orang pada hari kelima.
Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, walaupun banjir semakin pulih, angka kematian mangsa lemas disebabkan banjir terus meningkat.
Malah setelah banjir surut pada hari yang keenam, angka menunjukkan jumlah kematian bertambah lagi kepada 17 mangsa dan kini pada hari ke 10 dengan keadaan semakin pulih, angka kes maut meningkat kepada 47 orang, manakala lima lagi dilaporkan masih hilang.
“Majoritinya meninggal pada tiga hari pertama banjir di mana air naik secara mendadak, berlakunya fenomena kepala air sehingga menghanyutkan apa, saja yang dilaluinya.
“Pada hari ketiga barulah aset, jentera dan agensi kerajaan mula digerakkan sedangkan pada hari pertama dan kedua tiada kelibat anggota agensi terlibat digerakkan.
“Sekiranya pada hari pertama sistem amaran awal dan manusia yang mengendalikannya alpa, adalah tidak wajar pada hari berikutnya ia turut alpa sedangkan jalan raya dan mangsa banjir sudah banyak yang terkandas walaupun ada yang membuat panggilan telepon kepada pihak berwajib, namun ianya sudah semakin getir, ” ujar beliau ketika dihubungi.
Tambahnya, mereka yang berkuasa dan bertanggungjawab sepatutnya berasa malu dan memohon maaf kerana ia telah memberi impak yang amat besar kepada rakyat yang menjadi mangsa banjir.
Katanya lagi, selain dari cemas dan bimbang, mangsa sedang berhadapan antara dua situasi sama ada hidup atau mati.
Oleh kerana itu, rakyat tidak seharusnya disalahkan dengan ungkapan seperti rakyat kurang cakna ramalan kaji cuaca dan seumpamanya, kata Zaidi lagi.