Tiga hari bersidang, menteri cuma kemuka penerangan yang semua sudah tahu

Oleh KIM SYAZIE

Tidak nampak langsung apa-apa pengumuman baru yang dikemukakan menteri-menteri sepanjang tiga hari Mesyuarat Khas Parlimen berlangsung, kata Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Mahfuz Omar.

Beliau berkata, apa yang disampaikan blok kerajaan adalah perkara yang sudah diketahui ramai termasuk tentang Pelan Pemulihan Negara yang dibentang Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Menurutnya, sidang khas ini bersifat janggal kerana cuma mendengar taklimat menteri tanpa ada sebarang usul yang boleh dikemuka.

“Tidak ada sesuatu seperti usul yang dibawa kerajaan. Ini sangat janggal kerana sidang khas hanya mendengar leteran daripada menteri.

“Sidang kali ini boleh diumpakan dikir barat yang pamerkan tukang karut Perikatan Nasional (PN) khususnya kerajaan yang membuat karangan-karangan yang tidak lebih hanya sekadar memenuhi tuntutan Yang di-Pertuan Agong supaya sidang diadakan

“Tuanku Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu menitahkan satu persidangan yang memenuhi tuntutan perlembagaan khusus perkara 150 (3). Tapi ini tidak berlaku. Tiada sebarang usul yang sepatutnya diketengahkan dan diputuskan dalam Dewan,” katanya dalam siaran langsung bersama Malaysia Dateline semalam.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 2021

Untuk rekod, ini merupakan kalu pertama pintu Parlimen dibuka selepas sidang ditangguh sejak awal tahun lalu iaitu pada 12 Januari 2021.

Perbezaan sidang kali ini tidak seperti mesyuarat biasa yang kebiasaannya melibatkan pembukaan dan perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mesyuarat selama lima hari itu hanya akan fokus kepada aturan yang ditetapkan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.