Timbalan pengerusi NGO ditahan, disyaki seleweng dana zakat RM230 juta

Oleh KIM SYAZIE

Seorang timbalan pengerusi untuk sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditahan semalam selepas didakwa menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Selain suspek, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menahan dua individu lain yang merupakan pengarah syarikat.

Kedua-duanya disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2018 hingga 2024.

“Siasatan turut mendapati timbalan pengerusi NGO tersebut telah memindahkan RM230 juta tersebut ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan peribadi,” kata sumber.

Sumber menambah, siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan.

Dalam operasi tersebut, SPRM turut menyita 18 unit kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes.

Selain itu, hartanah bernilai kira-kira RM11 juta, pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama turut disita.

“Selain itu, SPRM turut membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.

“Kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok (Rabu) untuk permohonan reman,” ujarnya.

Baca juga: “Letak sticker ‘fragile’ pun tak guna?” – Video pekerja kurier campak parcel cetus kecaman