Tindakan ahli politik lobi ijazah kehormat memalukan

Oleh ARIF ATAN

Tindakan melobi agar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Islam Kehormat kepada seorang pemimpin tertinggi parti politik oleh pejabat seorang Menteri Besar disifatkan sebagai amat keji dan memalukan.

Pengarah Biro Pendidikan Pemuda AMANAH Terengganu, Firdaus Muhammad berkata, nama baik universiti terbabit akan tercemar jika anugerah berprestij itu dipaksakan untuk diberi oleh universiti kepada pemimpin parti politik.

“Apatah lagi nama yang dilobi itu, sebagaimana sebut sebagai punca perpecahan umat Islam dan Melayu. Hal ini sudah pasti memberikan imej dan kredibiliti yang buruk kepada universiti terbabit.

“Pemimpin politik seharusnya mempunyai rasa malu untuk memaksa institusi pendidikan memberi anugerah kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas laporan Malaysia Dateline berhubung dakwaan wujudnya kerja-kerja melobi secara agresif oleh pejabat seorang Menteri Besar bagi membolehkan pemimpin besar sebuah parti politik diberikan PhD Pengajian Islam Kehormat.

Mengulas lanjut, Firdaus menegaskan pemimpin politik tidak seharusnya ikut campur tangan dalam soal autoriti universiti dalam memberikan anugerah terbabit yang menurut penilaian mereka layak dan mempunyai merit untuk mendapat gelaran terbabit.

“Sesuatu yang berprestij tinggi sebegini tidak boleh diperoleh melalui usaha melobi secara tidak bermaruah ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda AMANAH Terengganu mengesa Pejabat Menteri Besar yang giat melakukan tindakan terbabit untuk segera insaf dan tidak melanjutkan usaha keji berkenaan.