Rata-rata pemandu dan orang awam tidak bersetuju dengan kenaikan kadar caj letak kereta dalam kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang akan dinaikkan 20 sen berkuatkuasa 1 April ini.
Mereka berpendapat kenaikan tersebut sebagai beban baharu lebih-lebih lagi kepada pekerja yang perlu membeli kupon untuk 8jam waktu bekerja.

Tinjauan Malaysia Dateline di lakukan sekitar Taman Tasik Shah Alam, bangunan Maybank dan Bank Islam serta beberapa parkir di pasaraya Do It Yourself (DIY) mendapati kebanyakan orang awam menggunakan kupon harian berbanding kupon bulanan.
Pekerja swasta, Khairul Rizuan Ibrahim, 43, berkata MBSA merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berpendapatan tinggi dan seharusnya mengekalkan harga 40 sen satu kupon.
“Kenaikan sehingga 20 sen mungkin jumlah yang kecil namun ia masih membebankan.
“Lebih baik kekalkan harga parkir 40 sen memandangkan gaji minima untuk semua masih diparas tidak memuaskan.
“Bimbang membebankan mereka yang baru mula bekerja dan akibatnya mereka terpaksa bekerja menggunakan motor untuk mengelak membeli kupon yang mahal,”katanya.
Bekerja sebagai juruteknik, Kayshdiip Singh, 24 berkata, tambahan kenaikan harga parkir dilihat berbaloi jika pihak MBSA menambah parkir kenderaan sedia ada.
“Jika saja-saja tambah (caj) dan katanya ingin tingkatkan kecekapan bertugas, orang mungkin tidak nampak perubahannya.

“Jika mereka kenakan caj parkir 60 sen, kami harap mereka tambah parkir.. Baru ada faedah dan kami juga tak kisah jika begitu.
“Boleh juga buat penambahbaikan dengan bina lebih banyak parkir berbumbung,” katanya.
Manakala Kamarul Hussin, 38 yang bekerja sebagai pemandu lori, berkata, beliau tidak terkesan dengan kenaikan caj parkir tersebut namun simpati dengan pekerja yang menggunakan kereta.
“Kebanyakan masa, saya parkir untuk sementara saja. Jadi tak risau kerana tiada isu lori kena tunda atau saman.
“Namun, saya kesian pada mereka yang bekerja. Jika mereka menggunakan parkir bulanan, ia masih mahal kerana kenaikan sehingga RM30 dari harga asal RM60.
“Jika parkir satu jam 60 sen, bagaimana mereka yang bekerja 8jam,”katanya.
Beberapa pemuda yang membawa motor juga berpendapat untuk mengurangkan kos yang sedia ada, mereka terpaksa menggunakan motor untuk ke mana-mana berbanding jika menggunakan kereta yang memerlukan mereka membeli kupon.
Tinjauan di sekitar beberapa kawasan Shah Alam juga mendapati pihak MBSA sedang giat menjalankan operasi menunda beberapa buah kereta yang tidak berkupon dan meletakkan kereta di kawasan larangan parkir (bahu jalan).

Wartawan Malaysia Dateline turut mendekati sekumpulan pelajar Universiti yang berada di sekitar Tasik Shah Alam. Mereka berpendapat harga 60 sen untuk satu kupon masih pada kadar berpatutan kerana tidak mencapai jumlah RM1.
Seorang peniaga, Norzatul Shema Yahaya, berkata kenaikan harga mungkin tidak menjejaskan perniagaannya namun khuatir beban ditanggung mereka yang menggunakan kereta semakin meningkat.
“Setakat ini pembeli hanya membeli sehelai kupon sahaja dan bukan satu buku. Jadi mungkin ianya tidak begitu terasa jika beli 60 sen untuk satu jam.
“Kalau parkir sekejap-sekejap tak mengapa. Tapi jika mereka perlu parkir untuk satu hari, itu membebankan mereka,”katanya.
Sebelum ini, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, kadar caj parkir membabitkan kenaikan 40 sen kepada 60 sen sejam, manakala caj sebulan daripada RM60 kepada RM90.
Kadar itu dibuat selepas menerima warta daripada Kerajaan Selangor untuk menaikkan caj tempat letak kenderaan di kawasan pentadbiran MBSA selepas 21 tahun.
Semalam MBSA dalam satu kenyataan berkata, kenaikan caj parkir irtu akan dikuatkuasakan pada 1 April depan.
Kadar dikenakan masih paling rendah berbanding PBT di Selangor dan negeri-negeri lain kerana kadar lama itu digunapakai sejak 1998.
Baca: Caj parkir MBSA