Titah Agong mesej jelas kepada ahli politik agar serius urus negara, pelihara perpaduan

Oleh MALAYSIADATELINE

Titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Parlimen hari ini memberi mesej jelas kepada semua ahli politik khususnya wakil rakyat, agar lebih serius dan  bertanggungjawab mengurus negara dengan terus memelihara perpaduan dan pembangunan yang dikecapi sejak 66 tahun lalu.

Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia Prof Dr Jayum Anak Jawan berkata ahli politik, sama ada dalam kerajaan mahupun blok pembangkang mempunyai tanggungjawab sama rata, bagi memastikan kelangsungan peranan sistem demokrasi, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.

“Kerisauan yang boleh menggugat kestabilan politik, terletak pada sikap dan tindakan ahli politik kurang matang seperti sering bertukar parti, kutuk-mengutuk antara satu sama lain, sehingga boleh menjejaskan peranan masing-masing dalam mengurus hal ehwal negara, untuk membawa kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau yang juga Felo Akademi Sains Malaysia berkata titah Yang di-Pertuan Agong itu tepat pada masanya, ketika pemimpin negara bergelut mengurus pelbagai cabaran paling genting yang mungkin boleh menjejaskan perpaduan etnik, pembangunan dan keselamatan negara.

Jayum berkata titah Al-Sultan Abdullah, menunjukan baginda amat prihatin dan mengambil berat mengenai aspek kedamaian serta keselamatan negara demi kebajikan rakyat.

Pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 hari ini, Seri Paduka bertitah baginda khuatir suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya, sekiranya kepelbagaian, kemajmukan dan kekusutan politik, berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan.

Baca Artikel Penuh