Isu bacaan graf bil elektrik pada bulan Julai dalam aplikasi atas talian iaitu myTNB yang dikatakan terlalu tinggi telah menimbulkan kebimbangan orang ramai hingga menjadi topik perbincangan hangat di media sosial.
Mana tidaknya, caj dipaparkan semalam dikatakan terlalu tinggi walaupun baru beberapa hari masuk ke bulan Julai selain penggunaan elektrik di kediaman masing-masing masih berada di tahap sama pada bulan sebelumnya.
Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil maklum berhubung isu tular tersebut dan memberikan penjelasan mengenai kenaikan graf penggunaan elektrik pada bulan Julai yang dikatakan terlalu tinggi itu.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform X, pihak TNB mengakui terdapat kesilapan teknikal yang berlaku sehingga mengganggu paparan graf penggunaan pada bulan Julai dan mengeluarkan bacaan tidak tepat.
Oleh yang demikian, graf tersebut tidak akan dipaparkan buat sementara waktu namun pihak TNB memberikan jaminan bahawa bacaan bil bulan Julai tidak akan terjejas akibat daripada masalah teknikal tersebut.
Pelanggan juga diminta untuk menyemak caj bil sebenar dan jumlah penggunaan tenaga elektrik selepas tempoh pengebilan kelak memandangkan graf yang dipaparkan sebelum ini tidak muktamad.
“TNB ambil maklum isu yang sedang tular di sosial media bahawa sesetengah pelanggan mungkin melihat graf penggunaan elektrik pada bulan Julai yang tinggi dalam aplikasi myTNB.
“Namun atas isu teknikal, terdapat ralat yang menyebabkan paparan graf penggunaan pada bulan Julai itu tidak tepat. Graf tersebut juga tidak akan dipaparkan buat sementara waktu.
“Kami ingin memberikan jaminan bahawa bacaan untuk penggunaan bulan Julai tidak terjejas. Pelanggan boleh menyemak bil muktamad selepas tempoh pengebilan,” jelas pihak TNB dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan jadual tarif elektrik baharu dengan kadar lebih adil dan progresif serta pengurangan purata kos sehingga 19 peratus akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027.
Seramai 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dijangka akan menikmati kadar elektrik baharu yang lebih progresif selaras dengan kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation – IBR).
Dalam pada itu, bantuan seperti Rebat Bil Elektrik RM40 untuk keluarga miskin tegar tetap diteruskan manakala institusi pendidikan, rumah ibadat dan rumah kebajikan layak menerima rebat 10 peratus.
Baca juga: Ramai ‘stress’ tengok bil TNB baru, lelaki ini ajar cara kiraan sebenar