Tok Guru Nik Aziz: Kehilangan yang tak terganti

Oleh BORHAN AHMAD

         
Murabbi Ummah... Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Pada semulia mulia malam, pada malam Jumaat 12 Februari 2015 Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat telah pulang ke rahmatullah.

Hari ini 12 Februari 2016, juga hari Jumaat, genap sudah setahun kemangkatan Tok Guru yang disayangi.

Setahun tidak lama, tetapi setahun setelah pemergian Tok Guru kita telah melihat perubahan senario negara ke arah kerosakan yang amat ketara. Perubahan besar berlaku di pihak pembangkang dan juga pihak kerajaan. Kita merindui sentuhan kebijaksanaan Tok Guru.

Tok Guru lebih disegani dari ditakuti. Tok Guru lebih banyak dicontohi dari dicemuhi. Itulah saorang tokoh agama yang sukar ditandingi dan diganti. Tok Guru mendekati semua dan tidak memilih golongan tertentu sahaja – sangat inklusif.

Tok Guru tidak menyisih tetapi seorang yang pengasih. Apabila seorang tokoh masyarakat bukan Islam membangkang cadangan undang-undang Islam tertentu, Tok Guru menziarahinya di rumah.

Tok Guru tidak berkata-kata keras tetapi bernas dan tegas. Inilah sikap seorang negarawan golongan ulama yang terulung pernah wujud di bumi kita. Sentuhan bijaksana sebeginilah yang kita rindui.

Selama lebih 20 tahun, di dalam keadaan segala kekurangan dan segala tekanan yang hebat dari kerajaan Pusat, Alhamdulillah Tok Guru berjaya mempertahankan Kelantan dengan cara segala kesederhanaannya.

Walaupun berketurunan Raja Jembal, Tok Guru tidak pernah menunjuk sikap meninggikan diri tetapi senantiasa sederhana dan zuhud.

Inilah seorang pemimpin yang bukan hanya mengajar tetapi menghayati dan menjadi contoh hidup dengan menzahirkan segala ajaran yang disampaikan saperti terkandung dalam Al Quran.

Setiap kali saya ke Kelantan hampir tidak pernah mungkir saya menghadiri kuliah Subuhnya di Masjid Kampung Pulau Melaka kerana inilah satu-satunya peluang mendengar dan melihat secara dekat Tok Guru mengajar dan menyantuni rakyat biasa di masjidnya.  

Bagaimana uzurnya Tok Guru, walaupun dengan hanya satu atau dua ayat akan di sampaikan juga kepada jemaah yang merindui sentuhan Tok Guru. Inilah Tok Guru yang saya kenali dan sayangi.

Dalam saat negara menghadapi cabaran yang begitu hebat, sikap zuhud dan kesederhanaan Tok Guru dirindui bukan hanya oleh umat Islam dan Melayu tetapi juga oleh bukan Islam dan bukan Melayu.

Tok Guru menjadi ikon tokoh agama serta pemimpin masyarakat yang mempamerkan keadilan, kesederhanaan dan sikap inklusif untuk semua.

Kami merindui Tok Guru yang sudah tiada. Insya Allah, apa yang pasti legasi Tok Guru menjadi contoh dan inspirasi perjuangan kami untuk menegakkan keadilan secara Islam melalui konsep Rahmatan Lil Alamin – rahmat untuk semua.

* Raja Bahrin Shah ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Pengerusi Parti Amanah Negara Terengganu.