Tok kadi bawa pengantin lain masuk dewan, tumpang akad nikah dalam majlis orang

Oleh WAN SITI AMINAH

Tidak dapat dibayangkan alangkah terkejutnya pengantin baharu ini apabila pasangan lain tidak dikenali masuk ke dalam majlis akad nikah mereka untuk diijabkabulkan menggunakan tok kadi yang sama.

Lebih memburukkan keadaan, pasangan terbabit bukan sahaja tidak meminta maaf malah langsung beredar dan tidak bertegur dengan pengantin baharu itu selepas sah menjadi suami isteri.

Pasangan itu difahamkan dibawa oleh tok kadi di mana pengantin baharu selaku ‘tuan rumah’ dalam majlis akad nikah tersebut langsung tidak dimaklumkan mengenai rancangannya untuk menikahkan orang lain.

Kejadian itu telah menyebabkan sedikit kekacauan dalam majlis ijab kabul pengantin baharu tersebut kerana segala perkara telah diaturkan dengan lebih awal termasuk sesi bergambar yang menelan banyak belanja.

Pengalaman yang meninggalkan kesan cukup mendalam di dalam hidupnya itu diceritakan semula oleh pengantin perempuan menerusi hantaran di ruangan komen dalam satu perkongsian di platform TikTok.

“Tengah siap sedia nak akad nikah. Waktu itu bakal suami saya sudah duduk depan tok kadi. Tiba-tiba ada sepasang pengantin lain yang tidak dikenali masuk. Yang lelaki itu duduk sebelah suami dan bersiap sedia nak nikah sekali. Tok kadi cakap dekat kami, jangan berkira sangat.

“Tok kadi itulah yang benarkan pasangan terbabit untuk tumpang akad nikah di dalam majlis saya. Kiranya nikah berjemaah. Tetapi tidak minta kebenaran kami langsung. Sudahlah kami yang tempah tempat ini awal-awal, bayar dekorasi dan jurugambar semua.

“Tiba-tiba, orang tidak dikenali datang macam itu sahaja. Jurugambar juga menyirap sebab mereka sudah tetapkan ‘angle’ untuk video dan gambar. Paling geram, pengantin perempuan itu langsung tak tegur kami selepas siap. Dia beredar macam itu sahaja,” kesal wanita itu.

Pengantin baharu itu mengakui merasa bengang dengan sikap tok kadi terbabit membuat keputusan sendiri dalam majlis nikah orang lain namun memutuskan untuk tidak membesarkan perkara tersebut atas rasa simpati.

Dalam perkongsian sama, wanita itu menjelaskan bahawa dirinya dan suami tidaklah begitu keberatan sekiranya tok kadi itu berbincang terlebih dahulu sebelum ‘menumpangkan’ pengantin lain dalam majlis mereka.

“Pada pendapat saya, tok kadi berkenaan tak hormat kami langsung. Memang niat nak bawa hal ini ke tengah masa itu. Tetapi orang lain minta kasihankan ustaz itu sebabnya dia ada anak ramai yang masih kecil. Padahal saya sampai trauma sedikit. Tetapi ikut cakap orang untuk tak saman.

“Lagipun masih muda masa itu. Tok kadi pula memang rancang dari awal tanpa minta kebenaran kami. Mereka datang dalam 10 orang. Selepas akad, pengantin itu ambil gambar dikelilingi hantaran kami dan balik. Memang tak bertegur langsung.

“Kalau tok kadi dan pengantin itu meminta izin elok-elok, memang kami berikan ruang lain untuk mereka tumpang akad nikah. Ini tidak, ibarat berlaga lulut duduk di sebelah suami. Tok kadi juga tak berikan penjelasan tetapi terus nikahkan pengantin lelaki itu dahulu.” Kesalnya.

Baca juga: Ini lagi sedih dari karipap oksigen, terkelu netizen tengok isi ayam secoet je