Meskipun sedang dilanda kemelut rumah tangga, bekas model Zahnita Wilson menganggap industri seni bukan lagi dunianya.
Ditawar untuk menjadi duta jenama pakaian terkenal tanah air berjumlah RM150,000, Zahnita menolak atas alasan mahu fokus akan perniagaan lapor Kosmo! Online.
“Saya minta maaf dengan rendah diri saya terpaksa menolak. RM150,000 memang banyak tetapi dunia peragaan bukan lagi dunia saya.
“Jakel menawarkan saya menjadi wajah kempen raya untuk tiga bulan tetapi saya minta maaf terpaksa menolak,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Bekas pelakon berusia 39 tahun itu sudah aktif dalam perniagaan menjual pai untuk kelangsungan hidup dia bersama anak-anak.
“Saya mahu beri tumpuan kepada bisnes pai dan anak-anak tetapi kalau ada tawaran kecilan daripada kawan-kawan, insya-Allah saya akan bantu peragakan.
“Jika tawaran tersebut membantu masyarakat dan golongan wanita, saya akan datang.
“Saya akan terus menjadi diri sendiri seperti biasa dan menggunakan media sosial sebagai platform mempromosikan perniagaan sendiri,” ujarnya.
Pada masa sama, Zahnita berkongsi untuk meltakkan target menjual 100,000 pada tahun hadapan.
“Target saya bulan ini nak buat 3,000 pai dan harap dapat capai penjualan 100,000 pai pada tahun hadapan. Masa baru mulakan bisnes, saya minta Allah tunjukkan jalan.
“Saya juga pernah berniat nak hantar 1 juta pai kepada Palestin. Mungkin sebab itu Allah beri rezeki ini,” tambahnya.
Baca juga: Suami Zahnita Wilson didakwa ambil dadah, dibenar ikat jamin RM4,000 atas tuduhan cederakan isteri