Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk berhati-hati ketika melancong ke Thailand terutamanya saat berkunjung di kedai makan.
Hal ini kerana, makanan popular seperti tomyam didakwa telah dicampur dengan penambah perasa dari bahan terlarang iaitu daun ganja.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis mendedahkan penambah perasa itu boleh mengakibatkan ketagihan kepada hidangan tersebut.
Menurut hasil risikan pihak berkuasa, bahan terlarang itu dijual dalam pelbagai bentuk di negara jiran seperti minuman, makanan dan juga minyak.
“Ada yang memasukkan daun ganja ke dalam masakan sup dan tomyam sebagai penambah rasa dan ada juga ganja dijadikan biskut.
“Pelancong asing yang tidak tahu mungkin akan termakan hidangan ini,” kata Pengarah AADK Perlis, Khairul Anwar Ahmad.
AADK khuatir, produk yang ditawarkan di tempat tumpuan pelancong itu mempunyai kadar kandungan kanabis yang tinggi.
Oleh yang demikian, pengunjung perlu lebih sensitif dan berhati-hati sebelum membeli sebarang produk dari negara seberang.
Baca juga: Parti politik Thailand dilarang guna TikTok untuk sebar berita palsu