Kerajaan diminta memperkenalkan sebarang bentuk pembaharuan dalam dasar ekonomi yang lebih adil kepada rakyat bagi mengatasi isu kenaikan kos sara hidup, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) sebelum menjelangnya pilihan raya akan datang, kata Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris.
“Perdana Menteri Datuk Seri Najib,jangan lupa pada aku janji Umno-BN sekiranya parti itu menang pilihan raya.Sebaliknya apa yang kami peroleh selepas Umno-BN menang?
“Cukup,cukuplah berbohong kepada rakyat. Perdana Menteri jangan lupa kebanyakan ahli Perkasa ini juga ahli PAS dan ahli Umno pula dikalangan mereka yang kecewa dengan kepimpinan Umno yang ada hari ini.Mereka menyertai Perkasa kerana mahu menegakkan kebenaran dan memperjuangakan nasib bangsa, agama dan hala tuju negara.
“Mereka ini adalah pengundi yang akan menentukan sama ada Umno-BN akan memenangi kerusi di setiap DUN dan Parlimen akan datang.
“Kenaikan macam-macam kos sara hidup selepas ada GST. Selepas itu kecoh pula nak laksana TPPA sedangkan ketika kehadiran Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, beliau sendiri menyebut harga ubat akan mahal dengan pelaksanaan TPPA . Selain kenaikan lain yang dihuraikan ramai pakar ekonomi tempatan negara ini.
“Kita minta kerajaan berterus terang isu TPPA dan minta kerajaan kaji semula apa yang ada daripada TPPA itu.
“Apa keuntungan negara? Adakah kita sebelum ini miskin? Ada perkara tak betul, seperti ada benda ditutup,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Dalam Persidangan Khas Tahunan Wira Perkasa hari ini, telah membuat tiga usul untuk mendesak kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanakaan GST dan TPPA selain mengambil kira kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat dan kumpulan G25.
“Kita akan bawa usul ini kepada Perdana Menteri. Kita mahu PM menimbangkan semula usul daripada Wira Perkasa,” ujarnya.
Malah Irwan Fahmi juga mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap kumpulan G25 yang amat memalukan umat Islam sekaligus mengundang salah faham tentang agama antara orang Islam dan bukan Islam.
“Mereka ini (G25) sepatutnya sudah disoal siasat dan ditangkap.Tapi nampaknya mereka masih bebas bersuara mengikut fikiran yang tidak berlandaskan fahaman agama yang sebenar dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, bila kerajaan nak ambil tindakan?
” Kita mahu kerajaan menyemak balik kumpulan ini apakah rasionalnya yang mahu LGBT itu dihalalkan. Kita nak tahu sekarang ini apa tujuan G25. Adakah mereka dibayar?” soalnya.
Seramai 400 ahli Wira Perkasa berkumpul mengadakan protes di hadapan Dewan Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru petang tadi.