TPPA : Harga ubat pesakit Hepatitis C bakal terkesan

Oleh MALAYSIADATELINE

Dianggarkan  560,000 pesakit  Hepatitis C (HCV) akan berhadapan dengan harga ubat lebih mahal kerana  ubat generik  bagi merawat penyakit itu tidak lagi boleh dijual sekiranya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dilaksanakan, sebagaimana pandangan Positive Malaysian Treatment Access and Advocacy Group (MTAAG).

Kebimbangan terhadap situasi ini mendorong Elisha Kor, 37 dari  Positive Malaysian Treatment Access and Advocacy Group (MTAAG) yang menyertai himpunan aman membantah TPPA di ibu negara petang semalam.

Katanya, TPPA akan memberikan kesan buruk kepada rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan rawatan bagi penyakit serius lantaran harga ubat-ubatan menjadi semakin mahal.

“Sebagai contoh, harga ubat bagi penyakit Hepatitis C (HCV) iaitu penyakit berkaitan hati lebih RM460 untuk kegunaan selama 12 minggu.

“Selepas terlaksananya TPPA, harga ubat bagi penyakit ini akan menjadi lebih mahal kerana ubat generik yang lebih murah tidak boleh dijual lagi kerana Malaysia terikat menggunakan ubat patented (asli) yang dihasilkan syarikat luar negara.

“Di Malaysia kira-kira 560,000 orang menghidapi HCV akan terkesan dengan TPPA khususnya mereka yang berpendapatan rendah,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline di Dataran Merdeka ketika kumpulan NGO ini mengadakan perhimpunan aman Bantah TPPA.

Elisha Kor (kiri) menerangkan kepada penulis (kanan) bahawa beliau berharap kerajaan membatalkan TPPA bagi mengelakkan rakyat menanggung beban perjanjian ini.Beliau berkata, TPPA lebih banyak memberikan kesan buruk kepada rakyat berbanding kebaikan yang didakwa kerajaan.

“Rakyat Malaysia terpaksa membeli ubat patended dari luar negara kerana ubat generik tidak boleh dijual lagi. Sekarang Klinik 1Malaysia masih guna ubat generik tetapi selepas TPPA ditandatangan, semua ubat generik tidak boleh dijual dan syarikat yang menjual ubat generik boleh disaman.

“Bagaimana nasib pesakit-pesakit Hepatitis C di negara ini?” soal beliau.

Beliau berkata, pihaknya pernah menghadiri sesi dialog dengan pihak kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) namun tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

“Perjanjian yang dibuat adalah rahsia. Kenapa rahsia? Kami perjuangkan hanya satu klausa daripada perjanjian TPPA,” katanya.

Justeru beliau sangat berharap kerajaan membatalkan TPPA bagi mengelakkan rakyat menanggung beban perjanjian ini.

“Kita bukan tidak menyokong Malaysia yang mahu terlibat dalam perdagangan tetapi jangan memangsakan rakyat. Kerajaan seharusnya lebih menjaga kebajikan rakyat daripada mementingkan keuntungan semata-mata,” katanya lagi.

Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamad dijadual membentangkan perkembangan terkini TPPA kepada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 26 dan 27 Januari ini.

Selain MTAAG, himpunan tersebut turut dianjurkan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Kongres Rakyat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.