Seorang wanita berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsikan satu rakaman memaparkan keadaan hidangan keropok lekor selepas siap digoreng di platform media sosial.
Mana tidaknya, beberapa ketul keropok lekor yang berada di dalam pinggan itu kelihatan lompong ekoran bahagian dalamnya diperbuat daripada isi ikan bersama tepung dan perasa itu sudah tiada.
Rupa-rupanya, isi keropok lekor berkenaan sudah melekat di dinding syiling rumah kerana dipercayai meletup ketika melalui proses penggorengan sebelum ia terbang keluar meninggalkan kulitnya di dalam kuali.
Wanita yang memuat naik rakaman berdurasi 11 saat itu di platform media sosial TikTok memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku pada hari raya keempat iaitu Khamis (semalam).
“Tragedi Syawal hari yang keempat. Keropok lekor terbang,” kata wanita terbabit menerusi ruangan kapsyen video yang sudah ditonton oleh 220,800 pengguna TikTok setakat artikel ini ditulis.
Mengulas lanjut, wanita terbabit di dalam ruangan komen memaklumkan bahawa kerepok lekor yang digoreng oleh anak saudaranya itu meletup kerana terlupa untuk dibelah dua sebelum dimasukkan ke kuali.
Isi keropok lekor yang melekat di dinding syiling itu kemudian dikais dengan menggunakan batang penyapu dan wanita terbabit turut meluahkan rasa lega berikutan tiada ahli keluarga tercedera akibat kejadian tersebut.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna merasa terhibur menonton rakaman tersebut selain berkongsi pengalaman peribadi masing-masing ketika menggoreng keropok lekor.
Sebahagian besar pengguna TikTok mengakui pernah berhadapan dengan situasi cemas ketika keropok lekor meletup malah ada individu merasa cukup trauma untuk menggoreng hidangan berkenaan.

Baca juga: Eda Ezrin dalam keadaan baik, keluarga tunggu keputusan bebas atau tidak minggu depan