Sebuah trak milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa anggota tentera bagi hari pengundian awal terlibat nahas dan terbalik dalam kejadian di Kampung Durian Daun, Rembau, pagi tadi.
Seramai lapan anggota daripada 24 anggota terlibat kemalangan terpaksa dikejarkan ke hospital dengan dua daripadanya cedera parah dan sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Rembau.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, kemalangan berkenaan membabitkan lori Regimen 11 Kor Armor Diraja Gemas yang terbalik di lokasi kemalangan.
Menurutnya, anggota tentera tersebut dalam perjalanan ke pusat pengundian awal Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson bagi tujuan mengundi awal.
“Mangsa iaitu lapan orang anggota mengalami kecederaan di tempat kejadian dan telah dikejarkan ke hospital berhampiran bagi rawatan lanjut. Siasatan masih dijalankan,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Penolong Penguasa Bomba, Ahmad Hafiz Mat Junoh berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.47 pagi dan sebaik tiba terdapat seorang anggota tersepit di bahagian kaki di tempat duduk belakang.
“Pihak kami menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Dua daripada mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya.
Berdasarkan laporan awal, seramai 18 mangsa berada di Hospital Rembau yang mana dua orang ditempatkan di Zon Merah, tujuh (Zon Kuning) dan sembilan (Zon Hijau).
Kesemua mangsa dihantar ke hospital dengan menggunakan lima buah ambulans.
Baca juga: ‘Allahuakbar saya menangis, gigil satu badan lihat suami hampir dihempap lori simen’
Baca juga: Demi nak kurus, wanita ini sanggup ikat mulut dengan wayar pelangsing