Trend kemerosotan harga minyak mentah mangsakan pekerja sektor O&G

Oleh BORHAN AHMAD

Trend kemerosotan harga minyak mentah global bukan sahaja memberi impak kepada sumber pendapatan kepada negara bahkan lebih ramai pekerja dalam industri minyak dan gas (O&G) dibimbangi akan terus terpukul.

Profesional dalam O&G, Anas Alam Faizli mengakui tempoh amat sukar pada masa ini menyebabkan banyak syarikat berkaitan sektor tersebut melaksanakan
pembuangan pekerja ekoran pengecilan aktiviti akibat kejatuhan harga minyak.

“Time is super bad. Lebih banyak operasi syarikat dalam O&G akan terjejas, projek jadi tergendala dengan kesan akhirnya nanti terhadap pekerja.

“Tahun lepas masih belum menerima kesan penuh sebab harga minyak mula turun pada Oktober 2014. Sebaliknya, tahun ini dibimbangi akan jauh lebih parah
kerana harga (minyak mentah) jatuh jauh lebih rendah,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Penulis buku ‘Malaysia Kaya, Rakyat Miskin’ (2014) ini memberitahu kesan rantaian kejatuhan harga minyak mentah akan berlaku dengan kumpulan syarikat
perkhidmatan dijangka paling teruk terjejas diikuti syarikat operator minyak dan gas.

Anas Alam Faizli“Dalam syarikat operator pula, bahagian projek yang terlebih dahulu akan ‘kena’ kemudian baru ‘subsurface’ dan ‘well’. Perkhidmatan pun sekali merangkumi banyak segmen antaranya perolehan dan kontrak.

“Pengurusan projek dan jurutera permukaan juga sukar untuk lega bernafas. Sekarang ini, projek korek baru dihentikan. Kekal apa yang ada. Yang menyediakan pelantar tutup kedai dulu sampailah ke jabatan sumber manusia pun tidak terkecuali,” jelasnya.

Anas yang pernah menjadi sebahagian daripada pasukan operator minyak dan gas turut berkata, kepakaran tenaga pekerja tempatan dalam semua sektor minyak
dan gas sedang berdepan dengan situasi tidak menentu pasaran lemah minyak mentah.

Kumpulan berkenaan antaranya merangkumi kejuruteraan, pembinaan, pemasangan, pemasangan di lautan, peralatan khas serta tenaga buruh mahir.

Petronas potong kos

Dalam perkembangan berkaitan, Petronas melalui maklumat komunikasi dalaman syarikat minyak itu kelmarin mendedahkan jangkaan penstrukturan semula
perniagaannya termasuk akan mengurangkan pengambilan kakitangan berstatus kontrak dan kontrak lantikan terus.

Pengumuman Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin tentang langkah mengoptimumkan kos itu turut membabitkan pemotongan gaji kakitangan sehingga 30 peratus bagi peringkat pengurusan atasan selain kemungkinan tempoh bekerja empat hari seminggu.

Terdahulu, beliau pada November lepas dilaporkan berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk membuang pekerja mereka khususnya berjawatan tetap meskipun
keuntungan Petronas menyusut lebih 80 peratus pada suku ketiga 2015.

Untuk rekod, kumpulan Petronas sehingga November lalu mempunyai kira-kira 51,000 tenaga kerja berstatus tetap dan kontrak.

Sementara itu, penganalisis dari Maybank Investment Bank, Liaw Thong Jung dilapor berkata, syarikat minyak dan gas wajar untuk menstrukturkan semula
perbelanjaan modal dan operasi untuk kekal optimum dalam situasi semasa.

Memetik laporan Astro Awani kelmarin, beliau berkata, industri O&G sedang menghadapi masa yang mencabar dengan kejatuhan beberapa projek dan juga
pengurangan skop pekerjaan dalam pasaran.

“Banyak (syarikat) telah melaksanakan langkah pengurangan kos dan lebih berhemat dalam menguruskan aliran tunai mereka. Syarikat-syarikat perlu
mengawal perbelanjaan (modal dan) operasi dengan persekitaran semasa. Kita telah melihat banyak penyusunan semula berlaku dalam tempoh 12 bulan yang
lalu.

“Aktiviti M&A (gabungan dan pengambilalihan) adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian untuk beberapa tahun akan datang. Bagi mereka yang bergabung, mereka akan lebih berdaya tahan,” ujar Thong Jung lagi.