Penyakit seperti diabetes dan kolesterol tinggi kini semakin membimbangkan dan gaya hidup tidak sihat seperti pemakanan berlemak serta kurang bersenam menjadi punca utama.
Kedua-dua penyakit ini berisiko tinggi tetapi sering tidak disedari, menjadikannya ‘pembunuh senyap’ yang perlu diberi perhatian serius.
Menurut Kementerian Kesihatan, kadar prevalens penduduk di Kelantan untuk dua penyakit tersebut adalah adalah lebih tinggi berbanding paras nasional lapor Harian Metro.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkongsi hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 untuk rakyat Kelantan.
Dapat dilihat 16.3 peratus rakyat Kelantan menghidap diabetes atau kencing manis berbanding 15.6 peratus di peringkat nasional.
Melihat kepada NHMS 2023, tinjauan mendapati 34.9 peratus penduduk di Kelantan mempunyai kolestrol tinggi berbanding 33.3 peratus di peringkat nasional.
Bagaimanapun kadar prevalens untuk penyakit darah tinggi dan berat badan berlebihan di Kelantan masing-masing merekodkan 27.9 dan 51.6 peratus iaitu lebih rendah berbanding paras nasional.
“Dapatan daripada NHMS 2023 saya kira amat membimbangkan walaupun Kelantan mencatatkan prestasi yang lebih baik dalam beberapa indikator berbanding paras nasional.
“Mendepani cabaran ini, Kementerian Kesihatan memperkenal dan melaksanakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sebagai platform untuk menggerakkan pembudayaan gaya hidup sihat secara menyeluruh.
“Inisiatif ini sangat selari dengan agenda reformasi sistem kesihatan negara, peralihan daripada perkhidmatan berfokuskan rawatan kepada sistem yang menumpukan kepada pencegahan dan kesejahteraan,” katanya sperti dipetik Harian Metro.
Pada masa sama, Dr Dzulkefly memaklumkan Wellness Hub sudah beroperasi di Kelantan sejak 2021 dan kini kapasiti meningkat daripada 15 kepada 80 peserta setiap sesi.
“Sejak 2021 hingga 2024, Wellness Hub Kelantan sudah menerima kehadiran lebih 92,000 klien, sama ada secara fizikal mahupun maya, dan ini membuktikan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan ditawarkan.
“Pelbagai perkhidmatan ditawarkan secara percuma, termasuk saringan kesihatan dan kaunseling gaya hidup sihat.
“Transformasi kesihatan memerlukan kerjasama menyeluruh, bukan sahaja daripada KKM, tetapi juga melalui kerjasama semua pihak serta rakyat sendiri.
“Saya yakin, dengan semangat bersama, Wellness Hub Kelantan akan terus menjadi contoh dan pemangkin kepada pembudayaan hidup sihat di seluruh negara,” kongsinya.
Baca juga: Luahan individu tentang murid darjah 1 yang tak boleh membaca cetus perdebatan Ibu Bapa