Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan terbukti menjadikan fungsi pembangkang di Parlimen menjadi hambar.
Menurut Pengarah Komunikasi, AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, sekiranya telah ada perbincangan sebelum memasuki Parlimen, persoalannya apa lagi yang harus dibincangkan sekiranya telah memasuki Parlimen.
“Bagi memastikan wujudnya semak dan imbang pembangkang kepada kerajaan, sudah pasti itu bukan kaedah sebenar yang harus dilakukan.
“Sebetulnya semak dan imbang pembangkang di Parlimen, medannya adalah telus dan transparen serta rakyat dapat melihat bagaimana suara pembangkang serta isu yang diutara dan dibahaskan.
“Itu merupakan peranan pembangkang dan dari hujah-hujah di Parlimen tersebutlah maka pembangkang akan mendapat ‘mileage’ politik dan tidak dapat dinafikan dengan kewujudan MoU tersebut kerajaan PN-BN yang mendapat keuntungan politik tersebut,” ujar beliau ketika dihubungi.
Sejajar dengan itu tegas beliau, Umno menjadi semakin kuat seperti mana yang telah dibuktikan dalam pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak baru-baru ini.