Berhentilah makan gaji. Itu penekanan utama Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan kepada masyarakat Melayu supaya menceburi bidang perniagaan.
Mengakui sama ada kerja lebih masa atau rasuah mungkin membolehkan orang makan gaji menjadi kaya, beliau mengaitkan dengan realiti penguasaan ekonomi negara pada masa ini.
“Orang Melayu jangan makan gaji. Kalau terus makan gaji, mati tujuh kali dan bangkit semula pun tak akan kaya-kaya.
“Jadi, bagi notis berhenti makan gaji dan mula berniaga. Esok letak jawatan, berniagalah. Macam mana nak dapat dana? Daripada 40 orang yang paling kaya di Malaysia, Melayu dan India hanya 9 orang,” ujarnya di hadapan lebih 200 peserta Konvensyen Dana Bumiputera di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 28 November lalu.
Menurut Ahmad lagi, agihan kekayaan di negara ini jika berdasarkan senarai 40 orang paling kaya tidak menggambarkan komposisi masyarakat Melayu.
“Tiga per empat orang paling kaya di negara kita ialah Cina padahal Cina itu 24.7 peratus penduduk atau satu per empat daripada penduduk di negara ini.
“Terbalik. Melayu dan India (komposisinya) tiga per empat tetapi daripada 40 senarai orang paling kaya, cuma satu per empat terdiri daripada Melayu dan India,” ujar Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) itu.
Contohi Khadijah usahawan wanita
Turut mengambil kisah Siti Khadijah, beliau menyifatkan isteri Nabi Muhammad S.A.W. itu sebagai bendahari pertama pergerakan Islam di dunia.
“Janda kaya itu tetap terpikat dengan Nabi dan meminang Nabi. Ustaz-ustaz kita hanya kata tentang wanita boleh meminang lelaki. Dia (Ustaz-ustaz) tak kata bahawa Khadijah itu bendahari agung pergerakan Islam yang pertama.
“Nabi juga berpesan sembilan daripada persepuluh punca kekayaan adalah daripada sumber perniagaan. Kalau ada kalangan saudara dapat berikan kepada saya nama satu barang dalam dewan ini yang tidak melibatkan perniagaan, saya akan bagi RM100 kecuali diri sendiri dan hantu syaitan,” ujarnya sambil bergurau.
Mengulas pengalamannya sebagai Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Usahawan pada 1993 berhubung saluran bantuan dana untuk perniagaan, beliau berkata, situasi hari ini menyaksikan perkembangan teknologi maklumat banyak memudahkan usaha tersebut.
“Dulu ramai orang bertanyakan tentang dana itu,dana) ini.Saya gembira sekarang segala maklumat berkaitan dana di hujung jari. Segalanya ada. Saya tak payah ceramah lagi,” ujarnya sebelum menyebut deretan alamat lengkap lebih tujuh agensi atau jabatan di bawah Miti.
Beliau berkata, ilmu merupakan modal pertama untuk berniaga.
“Buka saja internet. Ini kaedah zaman sekarang. Saya kira sehari semalam pun sudah boleh dapat maklumat tentang dana yang dikehendaki. Carilah maklumat itu. Zaman sekarang zaman teknologi maklumat,” kata lepasan Universiti Victoria, New Zealand (1986-1988) itu.
Bisnes ‘online’ alternatif premis terhad
Mengulas lanjut tentang perkembangan perniagaan mutakhir ini, Ahli Parlimen Pontian itu juga menyebut tentang potensi bisnes ‘online’ sebagai alternatif kepada ruang premis perniagaan yang begitu terhad terutama di ibu negara.
“Kadang-kadang payah nak cari premis perniagaan terutama di KL. Melayu hanya ada lima peratus premis perniagaan. Tiba-tiba Pos Malaysia dulu rasa nak tutup sekarang buka balik. Sebab adanya bisnes ‘online’.
“Dalam Alibaba.com, ada 16 bahasa berbeza. Nak apa saja semua ada tak tahu budu, cencaluk ada atau tidak, semua ada,” ujarnya lagi.
Dalam ucapan ringkas selama 12 minit petang itu, Ahmad juga dilihat sempat menyelitkan menyebut tentang kewajaran cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
“Kalau tengok betul-betul dahi saya masih ada cop GST lagi. Ada lagi. Sekarang orang panggil James Bond Malaya. Macam-macam. Saya dibantai di media sosial tapi akhirnya GST menjadi penyelamat kepada ekonomi negara Malaysia.
“Kita buka minda kita dari kampung, negeri, kita buka pasaran untuk melihat pasaran Asean seterusnya TPPA melibatkan 12 negara dengan 800 juta pasaran,” tambahnya lagi yang juga bekas pembahas Pidato Piala Perdana Menteri 1983.