Tular video akad nikah di Kundasang, suasana nampak macam dunia khayalan dunia impian!

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan sepasang pengantin baharu yang sedang menjalani proses ijal kabul di sebuah hotel di Kundasang telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.

Mana tidaknya, majlis pernikahan yang dilangsungkan di sebuah kawasan lapang di hotel berkenaan bukan sahaja tampak memukau dengan permandangan alam semula jadi malah turut ‘dihiasi’ latar belakang Gunung Kinabalu.

Rakaman proses ijab kabul yang sangat indah dan cukup mengharukan itu kemudian dikongsikan oleh pengacara majlis menerusi satu perkongsian dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

Menurut pengacara dikenali sebagai Fendy itu, majlis tersebut diadakan di hotel terletak di Kundasang, Ranau, Sabah berhampiran dengan Gunung Kinabalu seperti yang dapat dilihat di dalam rakaman tersebut.

Pengacara berkenaan turut memberikan ucapan terima kasih berikutan diberikan peluang untuk mengacarakan majlis tersebut selain mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada mempelai.

“Terima kasih kerana telah memilih Fendyventure dalam mengacarakan majlis pernikahan yang cukup indah ini. Selamat Pengantin Baru,” tulis pengacara itu menerusi ruangan kapsyen video dikongsikannya.

Setakat artikel ini ditulis, tinjauan mendapati perkongsian tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 1.3 juta tontonan dan 141,300 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya memuji pemilihan lokasi majlis.

Ramai pengguna berkongsikan sama pendapat bahawa permandangan di sekitar lokasi tersebut sememangnya terlihat cukup indah malah tampak seperti diadakan di dunia dongeng.

Beberapa individu juga berpandangan pemilihan yang dibuat oleh pengantin sangatlah tepat malah mereka juga tidak perlu mengeluarkan belanja besar terutamanya untuk dekorasi majlis.

“Macam kahwin dalam dunia khayalan, dunia impian (lirik lagu dunia khayalan yang sering digunakan sebagai runit bunyi drama dongeng),” kata seorang pengguna yang kagum melihat permandangan sekitar majlis.

“Tak perlu baju panjang meleret atau bunga hidup yang memakan kos beribu ringgit. Membazir! Cukuplah guna sahaja hiasan ciptaan Allah Ta’ala yang terindah.” Kongsi pengguna lain dalam ruangan komen perkongsian itu.

Baca juga: Kenderaan Singapura masuk Malaysia tapi tak daftar VEP? Siap sedia kena saman lepas Julai