Satu rakaman memaparkan seekor lembu yang sedang disembelih menjadi perbincangan hangat di media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya, lembu malang yang kelihatan terjelir itu dikatakan telah mati sebelum sempat disembelih, dipercayai akibat terjerut tali.
Menguatkan dakwaan, tubuh kaku lembu itu juga tidak mengeluarkan darah yang memancut selepas aktiviti penyembelihan dilakukan.
Mengundang persoalan, banyak pihak mula mempersoalkan sama ada ibadah korban tersebut sah dan adakah lembu itu halal untuk dimakan.
Dr Izhar Ariff selaku pakar dalam bidang Fiqh Fatwa Makanan & Produk Kepenggunaan Semasa dan Politik Islam tampil memberi penjelasan.
Menurut Dr Izhar, daging lembu itu haram untuk dimakan jika ia mati sebelum disembelih kerana termasuk dalam kategori bangkai.
Penyembelihan haiwan itu juga tidak sah untuk menjadi ibadah korban dan lembu lain perlu disembelih semula pada hari-hari Tasyrik.
Bukanlah perkara yang remeh, pihak penganjur juga perlu mengganti semula haiwan itu dengan lembu lain kepada peserta.
“Persoalan saya dalam video ini, kenapa darah lembu itu tidak memancut? Kenapa haiwan tidak meronta setelah disembelih,” soal Izhar.
Izhar yang juga penceramah bebas itu kemudian berkongsi perkara penting yang perlu diperhatikan sebelum melaksanakan ibadah korban.
1. Haiwan mati sebelum disembelih. Hati-hati dengan tali lembu kerana dikhuatiri lembu mati tercekik sebelum sembelih.
2. Tulang patah. Kaedah jatuhkan haiwan kena ada ilmu. Jika tidak, ia akan menyebabkan tulang binatang itu patah riuk sebelum disembelih.
3. Pisau tidak tajam. Pisau yang sebegini akan menyiksa kematian haiwan.
Baca juga: Lembu dah terjelir lidah sebelum sembelih, warganet pelik tukang korban tak perasan