Tindakan seorang wanita menegur kakitangan di sebuah kedai menjual popia selepas digelarkan sebagai ‘mak cik’ telah mengundang perbincangan hangat di laman media sosial, baru-baru ini.
Berdasarkan satu rakaman dikongsikan di platform TikTok, terdengar pelanggan terbabit memberi teguran kepada pekerja supaya tidak lagi memanggilnya ataupun pembeli lain dengan gelaran mak cik selepas ini.
Hal ini kerana menurut pandangannya, panggilan mak cik kepada pelanggan tidak begitu sopan sebaliknya gelaran ‘puan’ ataupun ‘tuan’ terdengar lebih beradab dan sesuai untuk digunakan.
“Lain kali kalau nak bercakap dengan pelanggan, panggil puan atau tuan. Jangan guna mak cik-mak cik. Kakak juga tak mengapa, adab dengan pelanggan,” kata wanita itu di dalam rakaman tersebut.
Rakaman berdurasi 30 saat itu kemudian dikongsikan di akaun TikTok dipercayai milik peniaga popia berkenaan yang bertanyakan kepada orang ramai sama ada gelaran mak cik sememangnya salah untuk digunakan.
Pekerja yang ditegur itu dilihat hanya tersenyum kepada pelanggan terbabit sebelum menganggukkan kepalanya dan menyerahkan bungkusan berisi popia selepas selesai menyiapkan pesanannya.
“Panggil mak cik pun tak boleh ke? Sabar ya Apis (nama pekerja yang ditegur),” kata pemilik kiosk yang beroperasi di sebuah pasaraya yang teletak di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor itu.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut telah ditonton oleh 261,900 pengguna TikTok yang mana rata-ratanya mempunyai pendapat berbeza mengenai situasi tersebut berhubung teguran diberikan pelanggan berkenaan.
Ramai pengguna berkongsi pendapat bahawa panggilan sedemikian tidak salah untuk digunakan memandangkan peniaga popia tersebut hanya menjalankan perniagaan di kawasan awam sahaja.
Sebahagian besar pengguna bagaimanapun bersetuju dengan teguran diberikan pelanggan itu namun berharap wanita terbabit boleh menggunakan bahasa yang lebih sesuai dan sopan dalam memberikan tunjuk ajar.
“Betullah gelaran itu penting untuk mana-mana transaksi. Tetapi kalau urusan anda setakat membeli di gerai popia, macam tak perlu nak terasa sekiranya orang memanggil kita mak cik,” kata seorang pengguna.
“Ayat yang pelanggan itu gunakan terdengar sopan dan tidak kasar. Cumanya lebih manis kalau dia tambah teknik gurauan dalam tegurannya. Sebagai contoh, ‘Panggillah puan, jangan mak cik. Nampak tua ke saya?’.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Tak pernah beli jam harga lebih RM1k, Yusof Haslam lebih rela sedekah daripada membazir