Polis mula menjalankan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan dalam blognya baru-baru ini yang didakwa berunsur fitnah.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata siasatan dimulakan sebaik sahaja menerima laporan daripada beberapa pihak yang mahu perkara itu diambil tindakan segera.
“Laporan polis itu diterima sehari dua lepas setiap tindakan mesti ikut peraturan undang-undang dan patuhi semua proses perundangan. Kita tidak boleh emosional dalam semua perkara.
“(Kemudian) kami akan bincang dengan Jabatan Peguam Negara, bila (terbukti) ada kes yang perlu diambil tindakan, kami akan ambil,” katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pulau Pinang antara Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi dan Datuk Abdul Ghafar Rajab.
Dalam tulisan di blognya pada 5 Februari lalu, Dr Mahathir mengatakan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mempunyai kredibiliti dan mendakwa Mohamed Apandi tidak akan mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International dan dana RM2.6 bilion kerana kononnya terhutang budi dengan Najib.