Dilihat kini bukan hanya orang dewasa dan orang tua yang menghisap rokok elektronik malah ada pelajar sekolah selamba menggunakan ia.
Ditambah kebanyakan rokok elektronik atau vape ini dijual secara meluas dan datang dalam pelbagai bentuk yang boleh mengelirukan orang ramai.
Disebabkan itu, negeri Melaka dikatakan sudah bersedia untuk mengharamkan penjualan rokok jika menerima arahan daripada Kerajaan Persekutuan serta Kementerian Kesihatan (KKM) lapor Kosmo! Online.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melaksanakan dasar tersebut sekiranya diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Kita memang menunggu satu arahan yang tuntas daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan kerajaan negeri sendiri, jika keputusan telah dibuat untuk mengharamkan di peringkat pelaksana bersedia laksanakannya.
“Kita perlukan penyelarasan dari kerajaan pusat supaya tindakan ini tidak berbeza antara negeri,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Jelas Rais, pihaknya sedar akan kewujudan peniaga yang berkemungkinan berselindung di sebalik lesen alatan elektronik.
“Saya percaya isu ini perlu diselesaikan dengan pendekatan menang-menang kerana ia turut melibatkan punca pendapatan sesetengah pihak.
“Namun aspek kesihatan awam perlu diberi keutamaan terutamanya melibatkan golongan muda,” kongsinya.
Baca juga: Penangan kerja dari rumah sepanjang sidang ASEAN, warga kota teruja jalan lengang macam hari raya