Taktik seorang pemandu van cuba mengelak dari membayar saman tidak berjaya apabila dia telah dihukum penjara kerana cuba memperdaya pihak penguasa.
Dilaporkan, pemilik van, William Britton dirakam memandu pada kelajuan 119 kilometer sejam (kmh) di kawasan yang memiliki had laju 96.5 kmh.
Penalti minimum untuk memandu laju di Wales adalah denda £100 (RM520) dan tiga mata penalti ditambah pada lesen memandu.

Dia selepas itu memikirkan jalan mengelak membayar saman dengan menambah sedikit corak garisan berwarna hitam pada bonet hadapan kenderaannya, lapor Agensi.
Ini dilakukan dengan harapan ia terlihat lain daripada gambar yang tertangkap dalam rakaman kamera perangkap laju polis.
Britton kemudian dikatakan telah menghantar ‘wajah’ terbaharu van jenis Ford Transit miliknya kepada polis dan mendakwa bahawa mereka menyaman individu yang salah.
Polis Swansea bagaimanapun berjaya membongkar taktik kotor Britton selepas melakukan siasatan yang mengambil masa 12 hari dan melibatkan rekod bayaran bank, pengecaman automatik nombor plat kenderaan dan isyarat telefon bimbit.
“Anda sepatutnya terima sahaja saman yang diberikan dan tidak mewujudkan situasi sekarang yang jauh lebih serius berbanding kesalahan trafik,” kata seorang hakim mahkamah Swansea.
Britton dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan tertangguh selama 12 bulan serta hilang kelayakan memandu selama enam bulan.
Dia juga diperintahkan membayar £500 (RM2,603) untuk kos pendakwaan.
Baca juga: Padah muat naik klip video sumbang, pelakon Zul Ariffin didenda RM30,000
Baca juga: Pengunjung tunjuk keadaan Pantai Cenang Langkawi sunyi, tak ramai pelancong walaupun hujung minggu