Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menuntut Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membuat perubahan pada jadual Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Menurutnya, jadual peperiksaan nasional bagi pelajar Tingkatan Lima itu perlu diteliti semula bagi memberi ruang kepada calon.
“7 Mac hingga 11 Mac sangat sesak kerana melibatkan subjek teras yang back to back.
“Sebab apa? Silibus KSSM yang baru, tiada peranti semasa PdPR, stres yang boleh akibatkan bunuh diri,” katanya dalam Twitter beliau hari ini.
Mengikut jadual SPM yang dipaparkan di portal rasmi Lembaga Peperiksaan Malaysia sejak beberapa hari lalu, ini kali pertama tarikh peperiksaan SPM jatuh pada Ahad iaitu cuti hujung minggu.
Mata pelajaran yang jatuh pada Ahad, 6 Mac itu adalah Prinsip Perakaunan Kertas 1, 2 dan 4 serta Al-Adab wa Al-Balaghah.
Pada Jumaat, 11 Mac pula mata pelajaran Al-Syariah, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Syari’ah Islamiyah, Turath Dirasat Islamiah, Maharat Al-Quran, Bahasa Punjabi, Manahij al-Umum Al-Islamiyah dan Pertanian.
Pada Ahad, 13 Mac pula, Pendidikan Seni Visual – Ujian Melukis, Pendidikan Muzik dan Reka Cipta manakala pada Jumaat, 18 Mac pula Bahasa Cina, Bahasa Iban, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun, Bahasa Semai, Bahasa Arab, Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah dan Turath Bahasa Arab.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), berpendapat berkata, tarikh peperiksaan bagi matapelajaran teras tidak harus rapat.
“Beri mereka sedikit jarak (tarikh) untuk kertas teras!” tegas bekas Menteri Belia dan Sukan itu lagi.