Umum tahu motosikal atau basikal elektrik tidak boleh dipandu di atas jalan raya namun masih ada yang tidak mengambil endah akan larangan tersebut.
Sudah melanggar peraturan jalan raya, boleh pula muat naik video di media sosial hanya untuk meraih perhatian ramai.
Dikenali menerusi media sosial, pempengaruh Isa Isarb sekali lagi tular selepas menunggang motosikal elektrik ubah suai.
Bukan hanya itu, Isa juga dilihat membawa dua pembonceng di persimpangan lampu isyarat Lee Rubber, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin.
Menurut Harian Metro, Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan Isa sudah dipanggil pihak polis untuk membantu siasatan.
Hasil siasatan mendapati, kenderaan mikromobiliti ditunggangi Isa sudah diubah suai dan dipasang bumbung berdasarkan video yang tular itu.
Pemeriksaan ke atas motosikal bernombor plat MDJ1154 mendapati ia didaftarkan atas nama Isa,yang juga dipercayai merakam aksi kenderaan mikromobiliti itu.
“Polis menghubungi Isa dan dimaklumkan beliau berada di Sabah atas urusan perniagaan sehingga 16 Mei ini.
“Penama (Isa) diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk diambil keterangan, bagaimanapun beliau mengesahkan akan hadir bersama peguam pada 17 Mei ini,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Beliau menegaskan motosikal digunakan pempengaruh itu termasuk dalam kategori kenderaan mikromobiliti yang penggunaannya di atas jalan raya awam adalah dilarang.
Ini adalah selepas ia didapati mengikut Kaedah 3(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021.
Baca juga: Wanita kritik iklan cari kerja tawar RM2,000 untuk jawatan ‘Head of IT’