PAS mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya melakukan perubahan kepada takrif rasuah supaya semua pihak dapat menikmati derma seperti diperoleh Perdana Menteri.
Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam nada sindiran berharap tindakan itu selanjutnya akan membolehkan Malaysia dikenali sebagai negara penderma paling ramai selepas ini.
Mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak, 17 November lalu bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) boleh melakukan sumbangan kepada ahli politik atau parti politik sebagai pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR), beliau menyifatkan alasan tersebut sebagai jalan keluar daripada tuduhan RM42 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun persendirian Presiden Umno itu.
Menurutnya, Najib pada masa ini yakin bahawa perkataaan ‘derma’ dapat menutup segala-segalanya seperti kontroversi ‘derma’ misteri RM2.6 bilion yang berakhir di dalam akaun persendirian Menteri Kewangan itu.
Skandal wang dari SRC International dan alasan ‘derma’ itu juga, ujar Tuan Ibrahim, tidak dapat mengugat kedudukan Najib dalam Umno mahupun BN meskipun beliau terpaksa berdepan dengan “serangan bengis” bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Pendek kata, jika terdapat ketidakteraturan kewangan, ‘derma’ lah jalan keluarnya kerana ini amalan yang boleh diterima Umno dan BN.
“Siapa yang benar? Kemungkinan besar juga Najib, Peguam Negara dan SPRM semuanya benar, tapi rakyat yang tersilap dengar. RM2.6 bilion itu kan ‘derma’?” bidasnya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, mengulas kegagalan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesan beberapa individu penting dalam 1MDB, SRC International dan Goldman Sachs di Malaysia, Tuan Ibrahim mengesyorkan KDN merujuk kepada Najib, Peguam Negara dan SPRM.
“Rasanya Kementerian Dalam Negeri perlu merujuk kepada Najib, Peguam Negara dan SPRM cara untuk menghubungi Nik Faisal. Ini kerana Najib sendiri yang memberitahu parlimen pada 22 Oktober yang lalu, Nik Faisal akan memberi keterangan secepat mungkin kepada SPRM manakala Peguam Negara memberitahu sebuah portal The Malaysian Insider bahawa Nik Faisal sudah memberi keterangan kepada SPRM,” ujarnya lagi.