Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan kekecewaannya dengan ucapan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 yang tidak menjelaskan mengenai 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion kepada perwakilan dan tidak memberi ruang kepada Timbalan Presiden dan Naib Presiden membela diri.
Sebaliknya Tun Mahathir menulis dalam blognya hari ini dengan tajuk ringkas ‘Ucapan Presiden’ , menyatakan jika Perdana Menteri mengatakan dirinya ‘gentlemen’, berjiwa besar dan berani sepatutnya beliau tidak bacul dan tidak akan undur daripada terus bersikap terbuka untuk menerangkan isu yang mengaitkan beliau dengan 1MDB dan dana RM 2.6 bilion.
“Tidak ada penjelasan berkenaan dengan masalah seperti 1MDB dan wang sebanyak 2.6 billion Ringgit yang terdapat dalam akaunnya di Arab Malaysian Bank yang perwakilan ingin tahu supaya mereka dapat terangkan kepada ahli-ahli lain dan orang ramai.
“ Ekonomi negara yang merosot, kejatuhan nilai Ringgit dan kesannya terhadap kos sara hidup dan kos import tidak diulas dan tidak ada cadangan bagaimana menangani masalah-masalah ini. Masalah yang disebabkan oleh GST juga tidak disentuh, hanya bagaimana kewangan kerajaan diselamatkan oleh cukai berat yang dibebankan keatas rakyat ini.
“Dasar pelajaran dan penggunaan bahasa pengantar yang tidak menentu tidak diulas.
“Yang disentuh dan di tegaskan ialah bantuan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli-ahli kepada Presiden,” ujarnya merujuk kepada tanggungjawab pemimpin dan ahli yang terkandung dalam fasal perlembagaan parti yang perlu dipatuhi.
Justeru kata Tun Mahathir lagi inikah sikap ‘Gentleman’ Najib yang berjiwa besar. Ia lebih mirip sikap boss yang mengikat tangan musuh supaya ia boleh dibelasah tanpa dibalas. Dahulu mencabar Presiden adalah perkara biasa dan pencabar bebas bercakap dimana sahaja. Tetapi sekarang tidak.
“Sesungguhnya ucapan Presiden UMNO dalam Persidangan Agong UMNO amat mengecewakan.
“Ada pihak yang tidak faham sama sekali isu yang dihadapi oleh parti. Mereka memikir ini masalah perhubungan antara Presiden dengan Timbalan Presiden. Oleh itu jika bersalam-salam maka selesailah masalah.
“Ini bukan masalah perhubungan atau persahabatan. Ini adalah isu salah laku Presiden yang boleh menyebabkan parti kalah dalam pilihan raya.
“Pilihan bagi parti ialah samada Presiden menjelaskan dimana duit yang hilang berada dan dikembalikannya kepada UMNO atau kerajaan atau Presiden letak jawatan,” ulangi Tun Mahathir atas desakan banyak pihak dalam dan luar parti yang mahukan Najib berundur.