Ancaman bunuh diterima keluarga rupanya menjadi punca pelawak, Harith Iskander terpaksa membatalkan program komedi berdiri ‘Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter’ yang sepatutnya berlangsung semalam.
Perkara itu didedahkan oleh bekas isteri kepada pelawak terbabit, Dr Jezamine Lim menerusi hantaran di platform Instagram yang memaklumkan keluarganya menerima ancaman sangat kejam terutamanya terhadap anak-anak mereka.
Satu laporan polis telah dibuat dan Jezamine yang juga pengurus Harith itu turut menegaskan bahawa tindakan individu terbabit mengancam keselamatan anak-anak tidak bersalah telah melampaui segala batas dan tidak berperikemanusiaan.
“Saya dan Harith amat kecewa dengan pembatalan persembahan ini. Namun selepas berbincang, ia adalah keputusan terbaik. Acara ini sepatutnya menampilkan pertunjukan pembukaan khas pertama oleh dua anak saya, Zander dan Zydane.
“Namun, ancaman bunuh yang saya terima minggu lalu membuatkan saya sangat bimbang mengenai keselamatan mereka. Perbuatan mengugut anak-anak kami yang tidak bersalah adalah keji, pengecut dan tidak berperikemanusiaan.
“Laporan polis sudah dibuat dan siasatan akan dijalankan. Saya tidak akan mengulas mengenai perkara ini,” katanya yang memaklumkan serangan tanpa henti di media sosial turut menjadi punca program dibatal dengan persetujuan bersama Harith dan Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Dalam pada itu, Dr Jezamine turut meluahkan rasa kesal dengan mentaliti sesetengah individu yang membiarkan emosi menguasai diri lalu bertindak terlalu ekstrem sehingga sanggup menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran.
Mengambil kira pemahamannya tentang Islam, Jezamine menyifatkan sikap ditunjukkan itu bukanlah sesuatu yang diajar agama selain mengingatkan orang ramai mengenai kepentingan berbuat baik tanpa mengenal status dan tindakan seseorang serta nilai belas kasihan dan rahmah.
“Saya benar-benar kecewa dengan bagaimana mentaliti orang ramai yang tidak berfikir panjang boleh mendorong sesetengah individu ke tahap yang ekstrem. Ya, anda berhak untuk tidak setuju atau merasa tersinggung dengan kata-kata seseorang.
“Emosi adalah perkara normal. Tetapi untuk menjatuhkan diri hingga mengancam keluarga seseorang serta jadikan kanak-kanak sebagai sasaran, bagaimana anda boleh membenarkan perkara itu. Saya berharap satu hari nanti anda akan temui ketenangan dalam diri anda.
“Semoga hati anda akan lembut dan faham bahawa tenaga yang digunakan untuk menyebarkan kebencian itu boleh digunakan untuk menyebarkan kasih sayang, empati dan perkara positif,” ujarnya selain turut berharap individu yang mencetuskan kemarahan ini dapat bertanggungjawab.
Dalam perkembangan terbaharu, pihak polis memaklumkan bahawa seorang lelaki berusia 31 tahun yang didakwa mengugut Harith dan keluarganya telah ditahan semalam selepas laporan dibuat oleh pengurus pelawak itu di Balai Polis Dang Wangi, dua hari lalu.
Suspek difahamkan ditahan reman hingga 28 Januari ini untuk membantu siasatan lanjut atas kesalahan ugutan jenayah dan menghina kehormatan seseorang di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Baca juga: India tawar ganjaran RM4 juta kepada sesiapa boleh baca skrip purba ini