1. Maaf, saya sambung ya nota semalam. Selepas selesai bertemu dengan para mangsa banjir di Pekan Salak, saya mula bergerak ke Dengkil iaitu di salah sebuah pusat penempatan banjir di Dewan Gemilang, Dengkil.
Di situ saya sempat bertemu, antaranya, dengan Ketua Kampung Kg. Semarang iaitu Tok Azmi. Beliau yang dalam keletihan yang amat sangat kerana masih belum tidur berbelas jam alhamdulillah masih mampu memberi taklimat kepada saya tentang apa yang berlaku.
2. Di Dewan itu ada kisah yang agak menarik. Ada seorang lelaki Melayu warga emas yang agak dalam keadaan beremosi dan agak kecewa serta marah kerana ada anak buahnya yang masih terkandas dan masih belum diselamatkan sedangkan air banjir pula makin pasang dan arusnya begitu deras. Saya rasa beliau berhak untuk kecewa dan panik.
Kami tidak berkata apa apa dan hanya mendengar bebelan beliau. Dalam masa yang sama, kami cuba juga menghubungi mana-mana pihak yang, sekiranya boleh, membekalkan perahu atau boat bagi menolong pakcik tersebut.
Saya akui ketika itu suasana agak “tense”. Bagi saya, ini lumrah di saat-saat sebegini. Ia agak normal.
3. Pakcik yang masih marah dan kecewa itu akhirnya cuba menelefon Setiausaha Politik (SUPOL) Perdana Menteri. Saya tidak pasti adakah beliau berjaya atau tidak menghubungi SUPOL PM itu.
Kekecewaan dan kemarahan beliau agak makin naik darjahnya sehingga keluar ayat dari mulut beliau mengatakan nak saman menyaman. Saya dan Ketua Kampung hanya berdiam diri.
Kami semua membisu tanpa bersuara sedikitpun.To be fair to him, dia rasa marah kerana sedang kecewa dan sedang bersedih. Justeru itu, bagi saya, biarlah beliau expressed his utter frustration.
4. Akhirnya pakcik itu beredar dan mengajak seorang pemuda di situ untuk menemani beliau. Misi pakcik itu kelihatannya, seolah olah ingin menyelamatkan anak buahnya yang terkandas. Misi suci.
Untung anak buahnya kerana memiliki seorang pakcik yang amat prihatin dan “caring”.
5. Jujurnya, kami tidak begitu pasti bagaimana pakcik itu ingin melakukan usaha penyelamatan tersebut dalam keadaan air yang terlalu deras?
Bagaimanapun, selepas pakcik itu beredar, kami cuba turuti beliau ke lokasi. Jika boleh, kami berhasrat untuk cuba juga membantu beliau.
Kami, bagaimanapun, tidak dapat bertemu beliau selepas itu tetapi di lokasi, air banjir makin pasang dan tinggi dan arusnya amat-amat deras. Hampir mustahil usaha penyelamatan mangsa dilakukan tanpa bantuan pihak yang ada kepakaran dan pengalaman seperti pihak Bomba.
Kami dapat lihat hanya sebuah lori bomba di situ (tanpa melihat ahli bomba) dan beberapa orang kampung yang sedang berdiri dan memerhati air banjir yang mengalir terlalu deras.
Kami masih terus berusaha untuk mendapatkan boat penyelamat bagi cuba membantu pakcik tersebut tapi masih tidak berjaya dan menuju jalan buntu. Hujan masih tidak berhenti. Jujurnya saya agak kecewa.
Selepas berada di lokasi itu lebih kurang setengah jam saya terpaksa beredar untuk bertolak ke Perak dan selepas itu ke Shah Alam.
Diringkaskan cerita, saya berjaya ke Perak dan ke Shah Alam tetapi hampir terkandas dan terperangkap di Shah Alam. Tiba di rumah agak lewat malam dan terasa begitu letih dan badan rasa nak demam.
Esok pagi (hari kedua) insyaAllah nak ke Sepang semula.
Bersambung insyaAllah esok.