Nama Maszlee Malik muncul dibenak kepala saya sewaktu polemik ‘ummah centric’ dengan ‘jemaah centric’ muncul pada sekitar pertengahan tahun 2005, kalau tidak salah ingatan. Idea itu dikemukakan oleh Maszlee yang ketika itu bertugas di UIA.
Lujnah Tarbiyah Pemuda Pas Pusat menganggap doktrin itu cubaan menghakis pengaruh Pas terutama di kampus. Antara yang terkehadapan menentang ialah Ustaz Idris Haji Ahmad dan Ustaz Nasaruddin Tantawi yang pada masa itu menjaga hal ehwal tarbiyah dalam pemuda.
Kini mereka menjadi penguasa di kementerian agama dalam kerajaan. Salahuddin yang jadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat ketika itu, mendengar saja hujah ahli mesyuarat.
Pada saya idea Maszlee tu ok je. Lagipun, ‘audience’ saya geng artis dan ahli sukan saja. Ini kerana saya diamanahkan sebagai Pengerusi Lujnah Kebudayaan, Kesenian dan Sukan Dewan Pemuda Pas Pusat.
Salahudin Ayub memang tidak menerima tarbiyah Pas di kampus universiti kerana dia belajar universiti agak lewat. Salahudin ditarbiyah oleh Cikgu Hamizi di kampungnya di Serkat. Serkat sebuah penempatan yang tidak jauh daripada Tanjung Piai, titik paling ke selatan tanah besar benua Asia.
Salahuddin berusrah di bawah kalong rumah saja dan kadangkala di rumah Cikgu Hamizi. Persoalan persaingan antara jemaah di universiti tiada dalam kamusnya. Sama juga dengan Mahfuz Omar yang tidak berpeluang belajar di universiti.
Mahfuz Omar pernah kata, buat apa tarbiyah kalau akhirnya lawan Pas balik atau jadi Umno? Mahfuz Omar terima semua aliran atau jemaah yang pelbagai. Janji kerja untuk Islam. Pada masa itu, tafsiran tentang konsep jemaah Islam itu adalah Pas sahaja.
Manakala jemaah lain tidak dianggap sebagai Jemaah Islamiyyah. Graduan universiti yang menerima tarbiyyah Pas memang alergik dengan jemaah lain terutama dengan ABIM dan IRC. Masing-masing bersaing mencari pengikut sebanyak mungkin.
Ini cerita dulu.
Kemudian saya bertemu pertama kali di Kedai Buku Harakah, Jalan Pahang dalam tahun 2005 juga. Dia (Maszlee) tegur saya macam sudah kenal lama.
Pada masa itu, dia sudah ada gaya ahli politik. Mudah engage. Itu my first impression. Saya pula, dingin sikit. Agaknya masih ada kesan doktrinisasi dalam parti lama itu.
Semasa kami menyambung pengajian peringkat PhD, kami berada pada tahun yang sama tetap tidak sempat bertemu.
Saya hanya menyertai program-program tarbiyah yang dianjurkan oleh Hizbi atau nama barunya, Ikatan yang menjadi cabang Pas di UK dan Ireland.
Manakala Maszlee tentu lebih kepada program anjuran Ikram. Kami cuma berhubung melalui telefon saja. Saya tinggal di Swansea, di bahagian bawah UK manakala Maszlee tinggal di bahagian utara.
Di UK, kami agak lebih terbuka dalam persaingan jemaah kerana faktor usia. Namun junior-junior kami masih seperti kami dahulu semasa belajar di peringkat ijazah pertama.
Kami di UK boleh beraktiviti melangkaui garis jemaah. Jika program-program yang melibatkan pelajar Malaysia, kami biasanya terbuka. Semua boleh sertai dan menyertai.
Saya pernah ke Durham, tempat Maszlee belajar tapi saya pun tidak sempat berjumpa. Pada masa itu kami mengejar masa untuk ke Glasgow di musim winter dan Maszlee ada komitmen lain. Saya sekeluarga naik Renault Magane yang saya beli dengan harga £450. Travel kami pada masa itu hampir 900 km bersama satu famili ke utara UK.
Semasa proses pembinaan Parti Amanah Negara, Maszlee antara sarjana tempatan yang menyokong penubuhan sebuah parti Islam yang baru bagi menggantikan Pas. Maszlee juga membuat sebuah kertas kerja tentang Amanah dalam salah sebuah jurnal antarabangsa.
Namun apabila tertubuhnya parti itu, dia tidak menyertai Amanah dan kekal independent. Akhirnya Maszlee memilih Bersatu sebagai wadah perjuangannya dan Tun Mahathir lantik jadi Menteri Pendidikan.
Sebelum dua bulan PH tumbang, Maszlee menyerahkan jawatannya kepada Perdana Menteri. Peristiwa ini diceritakan dalam buku terbaharunya, ‘Memori Bukan Memior’ yang dikatakan dicetak hampir atau lebih sepuluh ribu naskhah.
Maszlee membuat review tentang buku terbaharu saya, ‘Menang dan Terbuang. Demokrasi, ‘Deep State’ dan Darurat’. Ini buku kedua yang diulasnya. Sebelum ini, buku ‘Pembunuhan di Tanah Perkebunan’ yang terbit pada 2016.
Katanya, ‘Menang dan Terbuang’ amat unik kerana ianya coretan aktor dan pencinta sastera yang terlibat langsung dengan lapangan politik dan aktivisme.’ Ulasannya ringkas tetapi sangat bermakna buat saya sebagai penulis.
Terima kasih Doc!
————-
MUHAIMIN SULAM ialah pengarang buku Menang dan Terbuang – Demokrasi, Deep State dan Darurat yang akan berada dalam pasaran pada Oktober 2021